GPS yang patut jangan tanding di Jepak, PBK beritahu Fadillah


Semalam, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak Fadillah Yusof berkata calon dari gabungan itu sebaiknya diberi kemenangan percuma dalam PRK Jepak bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

PARTI Bumi Kenyalang (PBK) membidas kenyataan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof bahawa calon dari gabungan itu sebaiknya diberi kemenangan percuma dalam Pilihan Raya Kecil DUN Jepak bulan depan.

Presiden PBK Voon Lee Shan berkata gesaan itu Fadillah itu “membunuh demokrasi”.

Fadillah yang juga timbalan perdana menteri semalam berkata beliau yakin kerusi DUN Jepak akan kekal milik GPS pada pilihan raya kecil (PRK) itu, sambil menasihatkan calon lain yang berhasrat untuk bertanding melupakan sahaja angan-angan tersebut.

“Jadi siapa nak bertanding, tidak payahlah. Bagi kita menang percuma. Buang duit sahaja. Simpan duit, simpan tenaga. Tunggu pilihan raya yang lebih besar,” katanya seperti dilapor Bernama semalam.

Mengulas lanjut, Voon berkata GPS sebaliknya yang harus menarik diri daripada bertanding jika gabungan itu percaya kepada demokrasi.

GPS katanya menguasai 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak dan pembangkang secara praktikalnya tidak mempunyai suara dalam dewan. DAP mempunyai dua wakil, manakala empat lagi dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Bagaimanapun, PSB dijangka akan bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu daripada empat parti komponen dalam GPS, Disember ini.

Voon berkata DAP tidak boleh dianggap sebagai pembangkang di Sarawak kerana kedua-duanya adalah sekutu di peringkat persekutuan.

“Jadi, DAP tidak boleh jadi wakil suara pembangkang yang berkesan,” katanya.

PBK mencalonkan Stevenson Joseph Sumbang untuk bertanding dalam PRK Jepak yang akan diadakan pada 4 November ini, manakala  bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Sarawak Iskandar Turkee dinamakan sebagai calon GPS.

Parti Aspirasi Rakyat Sarawak juga umum akan bertanding dengan menamakan ahli perniagaan Chieng Lea Phing untuk memberi saingan kepada GPS.

Stevenson pernah bertanding di Jepak pada pilihan raya negeri 2021 tetapi hilang wang deposit.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Talib Zulpilip pada 15 September lepas. – 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen