Tukar kerajaan hari lain, selamatkan Palestin dahulu


KETEPIKAN ketaksuban pada parti dan NGO serta pasukan masing-masing. Ya, kita semua ada pendirian dan peranan berbeza-beza dalam banyak hal tetapi buat masa ini kesemua itu mesti dicampak ke tepi.

Yang penting pada masa dan ketika ini ialah krisis kemanusiaan yang dahsyat sedang dipertontonkan di Palestin.

Di Gaza, 1524 kanak-kanak dan bayi mati tanpa sebarang sebab. Dibom, dibedil, ditembak. Ia adalah penyembelihan tanpa akal fikiran. Kerja gila pengganas.

Di Gaza sekarang, pembedahan, surgeri, dan jahitan-jahitan luka dilakukan tanpa bius. Adakah kita boleh faham apa mereka lalui?

Di Rafah, sempadan Mesir ke Gaza, lori-lori sarat dengan makanan, ubatan, air dan minyak telah ditahan hampir lima hari. Tidak dapat masuk ke Gaza kerana akan diserang oleh Zionis Israel.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Antonio Guterres berada di Rafah sekarang. Beliau juga mati akal tidak dapat berbuat apa-apa. Adakah kita sedar apa yang sedang berlaku sekarang?

Di Palestin setakat ini, 50,000 rumah telah musnah. 200,000 manusia tiada tempat tinggal. Adakah kita faham apa yang sedang berlaku?

Di Gaza, kedai-kedai roti dijadikan sasaran bom. Supaya tiada roti maknanya tiada makanan. Adakah kita faham apa sedang berlaku sekarang?

Di Palestin, bukan sahaja masjid dimusnahkan tetapi juga gereja-gereja dijadikan sasaran serangan sehingga hancur. Masih rasakan konflik ini perang Islam dan Yahudi?

Di Gaza sahaja, lebih kurang 500 maut kerana hospital dibom. Doktor dan jururawat tidak lagi menerima pesakit, mereka menerima mayat keluarga sendiri. Adakah kita faham apa sedang berlaku?

Di New York, Madrid, London, Oslo, Athens, Lebanon, Paris, Michigan, Manchester, Glasgow, Jakarta, Bangkok, Kaherah, Brussels, Seoul, Amman, Tunis, Doha, Beirut, Sanaa, Karachi, Najaf, dan Frankfurt, puluhan ribu turun ke jalanan untuk protes.

Manakala kita di Kuala Lumpur pula sibuk bertanya siapa penganjur? Kenapa ada parti politik? Kenapa tidak NGO A buat? Kenapa NGO B anjur tempat lain?

Kenapa mesti buat hadapan Kedutaan Amerika? Kenapa tidak buat di stadium? Kenapa hanya NGO Melayu?

Selagi mana kita di Malaysia tidak matang untuk mengenepikan pegangan ketaksuban pada parti atau NGO atau persatuan atau pasukan masing-masing selagi itu jugalah Israel, Amerika dan sekutunya yang lain akan hanya gelak pada kita di Malaysia.

Cukup-cukuplah kita taksub pada pegangan masing-masing.

Konflik di Palestin bukan lagi mainan; ia jenayah perang yang menggugat kewarasan dan tamadun manusia.

Bangkit Malaysia dari lamunan. Jangan hanya tunggang harimau di dada akhbar atau label individu sebagai Imam Mahdi.

Kumpulkan seluruh rakyat tanpa fikir agama, bangsa dan rupa bentuk pegangan. Satu gegaran kuat mesti kita sampaikan kepada negara-negara kuasa dunia bahawa kita juga manusia yang sayangkan keamanan dan merasakan keperitan di Palestin.

Adakah kita faham apa yang sedang berlaku? Atau adakah Malaysia ambil sikap pro-Barat sekarang ini? Bercakap sahaja tanpa tindakan? – 21 Oktober, 2023.

*Rafique Rashid, Ketua Penerangan Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen