Percaturan BRI baharu dan dilema kepada rantau dan Malaysia


PLATFORM Belt and Road Initiative (BRI) China kini memasuki ulangtahun ke-10, yang diraikan di Beijing dengan kehadiran lebih daripada 130 pemimpin dan wakil dari seluruh dunia dalam usaha Presiden Xi Jinping untuk memperluas dan memperkukuh pengaruh terutama dalam domain Global South. Inisiatif BRI ini merupakan titik peluh Xi yang mengukir legasinya tersendiri dalam menjadikan BRI sebagai pentas pemangkin keunggulan Chinese Dream dan aspirasi kebangkitan China menjelang 2049.

Sidang kemuncak ulang tahun sambutan BRI ini juga menjadi pentas strategik bagi Xi dan Putin untuk memberikan mesej jelas kepada Barat dan Amerika tentang kemaraan kapasiti momentum bersama sebagai sistem pembangunan dan kesepakatan multi-domain yang sukar untuk dikekang oleh Barat. Kehadiran Putin dijadikan sebagai langkah langsung untuk memberikan mesej kepada Xi mengenai ketersediaannya untuk mempertingkat ruang dan kapasiti kerjasama dan kesepaduan strategik dalam sektor ekonomi dan jaminan keselamatan makanan dan tenaga, dan bukan sahaja terikat kepada kerjasama pertahanan dan militari semata-mata.

Putin yang terus yakin untuk berpijak di bumi China memberikan petanda jelas tentang kepentingan Beijing dari segi cegah rintang bersama terhadap Amerika, walaupun masih berwaspada tentang risiko Beijing sebagai duri dalam daging berdasarkan kegusaran sejarah sengketa lama.

Beijing perlu bergantung kepada Moscow dalam aspek kritikal keterjaminan sokongan sosio-ekonomi dan keselamatan makanan dan tenaga yang kekal menjadi percaturan utama Beijing selain daripada fokus tradisional militari dan cegah rintang bersama menghadapi sekatan dan embargo ekonomi dan perdagangan Barat.

Kali terakhir Putin melawat China adalah sebelum perang di Ukraine, dan China terus menjadi wadah selamat untuk beliau memandangkan China tidak menjadi ahli kepada International Criminal Court (ICC) yang telah mengeluarkan waran tangkap kepadanya atas kesalahan jenayah perang di Ukraine.

Xi memilih untuk tidak hadir di G20 yang lepas, di mana Xi sedar bahawa ia masih didominasi dan dikawal oleh Barat. Persidangan BRI ini dijadikan haluan dan pentas penting baginya secara peribadi dan juga bagi China untuk mengembalikan tahap kepercayaan dan keberkesanan sistem alternatif yang dipimpin oleh China dalam menjawab pelbagai kepincangan sistem Barat dalam konteks perdagangan, ekonomi, kewangan dan keselamatan semasa global.

Kekangan Baharu BRI

Namun, cabaran struktural dalam pelaksanaan BRI serta kebangkitan kesedaran pelaku lain dan penerima pelaburan BRI ini terutamanya dalam perangkap hutang dan waspada risiko dampak geopolitik, membantut percaturan jangka panjang Beijing dan juga Xi di sebalik cabaran sosio-ekonomik dalaman.

Dalam mengekang momentum kemaraan kuasa soft power berlandaskan BRI serta cengkaman alat ekonomi Beijing dalam memperluas persaingan kuasa dalam pelaku strategik ahli Global South, Barat mengintai peluang dalam menggunakan naratif debt trap BRI serta risiko kedaulatan dan keselamatan ekonomi negara terbabit. Jaluran baharu yang diketengahkan oleh Washington dan G7 sebagai jawapan kepada BRI termasuk pelancaran platform dana $600 billion di bawah panji Partnership for Global Infrastructure and Investment (PGII).

Kepincangan kemelut pembayaran semula hutang jangka panjang projek infrastruktur dan pembangunan di bawah BRI kini menjadi wadah peralihan strategi dan polisi negara penerima. Itali menjadi satu-satunya negara anggota G7 yang telah memeterai perjanjian BRI, kini bakal menarik diri.

Dalam laporan terkini yang dikeluarkan oleh Boston University, institusi kewangan China telah menyalurkan $331billion kepada negara penerima BRI dari 2013 sehingga 2021, dan telah menyebabkan kebanyakan negara ini terpalit dalam polemik hutang yang serius dan berterusan.  

Beijing telah berbelanja sebanyak $240bn dalam menyelamatkan negara yang bergelut untuk menunaikan hutang BRI mereka, mengikut laporan penyelidikan berbeza yang diterbitkan awal tahun ini.

Lebih daripada $90 billion pelaburan China di bawah BRI kini berdepan dengan kemelut berangkai, menurut statistik yang diterbitkan oleh American Enterprise Institute di mana isu yang dikenalpasti termasuk pembatalan projek, penangguhan dan kesilapan polisi firma China.

Peningkatan risiko serta kekangan yang dihadapi memaksa Beijing untuk mengubah haluan dan corak penyampaian BRI. Projek akan datang kini dibentuk dalam acuan yang lebih kecil dan berpaksikan kitaran baharu yang berlandaskan prinsip masa depan terutamanya dalam domain ekonomi digital dan tenaga hijau.

Perubahan Kapasiti Rundingan Serantau

Dalam percaturan baharu China untuk menghadapi tentangan Barat serta kesedaran dan ketersediaan negara penerima untuk mengolah kembali pertalian BRI, keseimbangan dan strategi baharu perlu diatur China dalam mempertahankan impak geostrategik dan pulangan BRI.

ASEAN dan Asia Tenggara kekal menjadi medan kritikal bagi Beijing, dan BRI menjadi landasan utama dalam melindungi kepentingan strategik Beijing sebagai alat ekonomi untuk memperdalam kebergantungan dan mempertingkat tahap kebergantungan rantau ini kepada Beijing. Ini menjadi pendorong pertama kepada Beijing, di mana kepentingan pengaruh menjadi sandaran utama dalam usaha untuk menjamin kesinambungan objektif utama di Laut China Selatan, Taiwan dan pengusiran Barat dari arca kejiranan serantau yang cuba dipelopori sepenuhnya oleh China.

Projek strategik BRI di rantau ini akan kekal menjadi prioriti utama Beijing dalam usaha untuk mengfokuskan usaha untuk mempertahankan kegentingan pulangan keselamatan dan jaminan Taiwan dan Laut China Selatan yang menjadi sandaran tertinggi jangka pendek. Berbanding dengan projek BRI di Afrika dan Latin Amerika dalam usaha global power projection dan pembentukan forward operating bases yang disandarkan untuk memecah kepompong kuasa Amerika dalam skala jangka panjang, kesemua ini mengambil percaturan masa yang lebih lama dan fokus kapasiti yang lebih menyeluruh.

Tumpuan akan terus diberikan dalam memacu pulangan pantas daripada projek BRI strategik di rantau ini, terutamanya dalam memberikan penyelesaian kepada Malacca Dilemma yang akan memberikan fallback options kepada Beijing untuk melangkaui laluan strategik Selat Melaka dan memberikan laluan pantas ke Lautan Hindi.

Projek strategik berskala besar dalam hasrat ini seperti landasan keretapi laju Laos-China, Koridor Ekonomi China-Pakistan dan Koridor Ekonomi China-Myanmar, menjadi platform kepada pembinaan pangkalan dan aset dalam mempercepat laluan ke arah Lautan Hindi dan jaminan keselamatan rantaian bekalan. Pangkalan Gwadar di Pakistan, serta pelabuhan Kyaukphu di Myanmar dalam zon ekonomi khas menjadi antara sandaran strategik dalam menghubungkan laluan perdagangan dan bekalan tenaga dari Timur Tengah dan Lautan Hindi melalui jalan darat ke China, tanpa melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan. 

Ini menjamin percaturan keselamatan dan unjuran kuasa kepada Beijing dalam usaha untuk mengekang dominasi kuasa laut India dan Amerika  sebagai langkah jaminan keselamatan makanan dan tenaga. Ini menjadi sandaran kritikal kepada usaha Beijing dalam agenda utama untuk mempertahankan Taiwan yang akan berkait dengan saluran sokongan militari dan jaminan makanan untuk potensi konflik berpanjangan sebagai usaha ketersediaan dalam menghadapi sekatan ekonomi dan rantaian bekalan yang akan dikenakan Amerika.

Beijing akan terus menaruh harapan kepada sandaran rangkaian strategi ekonomi lain termasuk RCEP dan momentum de-dollarisation, serta menggunakan peluang keadaan ekonomi dalaman serantau dan kegusaran kepada agenda IPEF yang dicuba dibawa Amerika dalam membentuk naratif bahawa sokongan dan bantuan pelaburan dan kewangan oleh China adalah tidak berlunaskan agenda tersirat atau strings attached.

Percaturan strategi lain termasuk mengekalkan platform BRI dalam meraih pulangan untuk memperkasa kuasa rundingan dan juga potensi untuk mendapatkan aset infrastruktur dan pelaburan tersebut sekiranya pihak penerima tidak berupaya untuk menjamin pembayaran semula hutang.

Ini menjadi alat cegah rintang serta keberkesanan cengkaman ekonomi yang akan memberikan pulangan keselamatan dalam perspektif lebih besar.

Percaturan Strategi Futuristik

Perubahan ketara geopolitik global termasuk pandemik, perang Ukraine, konflik perdagangan dengan Amerika serta ekonomi dalaman China sendiri yang merudum, kesemuanya memberikan dampak langsung kepada Beijing dan menuntut perubahan strategi BRI. China telah memeterai perjanjian BRI dengan lebih daripada 150 negara sejak sedekad yang lalu, di mana sebanyak $1trillion pelaburan telah dilaksanakan. Namun kemuncak saluran ini kepada negara-negara miskin telah memuncak pada beberapa tahun yang lepas, dan kini dalam tren menurun ke angka yang terendah.

Dalam strategi baharu sebagai benteng jaminan BRI, inisiatif baharu termasuk Global Development Initiative (GDI), Global Security Initiative (GSI) dan Global Civilisation Initiative menjadi sandaran jaminan berterusan. Ini cuba dijadikan sebagai pendekatan baharu berasaskan model pembangunan klasik yang berteraskan domain sosio-ekonomi yang membezakannya dengan konsep BRI yang disifatkan lebih kepada inisiatif komersial. 

Selain itu, peralihan fokus BRI kepada jaminan kualiti berbanding kuantiti juga mengambil kira keresahan pelaku lain terbabit, dalam meneroka lembaran baharu untuk menjadikan BRI sebagai batu loncatan kepada pembangunan masyarakat global yang berkongsi aspirasi dan masa depan bersama dengan menyuntik kesepakatan dalam teras utama seperti jaminan keselamatan makanan dan tenaga, kepintaran buatan, perubahan iklim, green and digital financing and e-commerce, dan pembangunan holistik, berbanding dengan fokus sebelum ini yang hanya berkisar kepada pembangunan ekonomi.

Ini diharapkan untuk membuahkan hasil dalam membentuk naratif serta kepercayaan dan lensa baharu dalam konsep BRI dalam menangkis persepsi lama dan disajikan sebagai model pembangunan global baharu yang lebih efektif dan bersesuaian dengan konteks model pembangunan Global South berbanding dengan sistem Barat. Namun, Amerika dan Barat terus tekad dalam memperkasa model dan benteng yang cuba dibangunkan untuk menyaingi perluasan soft and hard power Beijing bukan sahaja di Global South, tetapi juga di medan baharu persaingan memenangi hearts and minds komuniti bersasar global dan juga dalam krisis semasa di Timur Tengah dan di Ukraine. – 21 Oktober, 2023.

*Collins Chong Yew Keat, Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa, Universiti MALAYA

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen