Polis Asean ikrar tingkat kerjasama perangi jenayah transnasional


Pasukan polis Asean berusaha untuk meningkatkan perkongsian untuk mempromosi keamanan, keselamatan dan kestabilan, serta meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah transnasional. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

POLIS Asean yang bertemu di Vientiane, ibu negara Laos, berjanji untuk meneruskan perjuangan menentang jenayah transnasional serta mengukuhkan hubungan sesama pasukan polis Asean, rakan dialog dan negara pemerhati.

Janji itu dibuat pada mesyuarat ketua-ketua Delegasi Polis Asean dan rakan perunding sempena Persidangan Aseanpol ke-41 pada Selasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam Lao, Khamking Phouilamanivong.

Pasukan polis Asean berusaha untuk meningkatkan perkongsian untuk mempromosi keamanan, keselamatan dan kestabilan, serta meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, keganasan, penyeludupan senjata dan permerdagangan manusia, lapor Xinhua.

Bercakap pada persidangan itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Awam Laos Vilay Lakhamfong berkata, “Persidangan Aseanpol ke-41 berlangsung dalam persekitaran yang menawarkan pelbagai kemudahan dan banyak cabaran.”

“Oleh itu, persidangan ini penting bagi meningkatkan kerjasama, sama ada di peringkat serantau mahupun global dalam menangani pelbagai jenayah untuk memastikan rantau dan masyarakat dunia hidup dalam keadaan yang aman, damai dan stabil,” katanya.

Peserta persidangan itu turut mendengar ceramah mengenai kerjasama polis dengan rakan dialog dan negara pemerhati, sama ada secara dua hala dan pelbagai hala, mengenai pencegahan dan memerangi jenayah transnasional.

Isu tersebut dibincangkan secara membina dan berterus-terang bagi mencari penyelesaian kepada kadar jenayah rentas sempadan yang semakin meningkat.

Keputusan mesyuarat itu akan menjadi asas kepada pelan kerjasama polis dalam mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan, serta mengukuhkan kerjasama antara pasukan polis negara anggota Asean, rakan dialog dan negara pemerhati.

Mereka juga berjanji untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan di bawah arahan Sekretariat Polis Asean di Kuala Lumpur. – Bernama, 20 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen