Putrajaya digesa longgarkan syarat pemohon MM2H


Angie Tan

Kerajaan menaikkan keperluan deposit pemohon MM2H daripada RM150,000 kepada RM300,000 bagi mereka di bawah umur 50 tahun dan menaikkannya kepada RM1 juta bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2023.

PERUNDING Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) menghantar cadangan kepada Putrajaya menggesa melonggarkan syarat tidak munasabah bagi warga asing yang berminat dengan program itu.

Antara cadangan mereka ialah kerajaan menurunkan had umur, tahap pendapatan dan dana dalam akaun simpanan tetap pemohon.

Putrajaya mengenakan sekatan umur bagi kategori visa tertentu. Sesetengah permohonan terbuka kepada pesara, manakala yang lain mempunyai had umur untuk individu yang bekerja atau tanggungan. 

Pemohon MM2H dikehendaki membuktikan mereka memperoleh pendapatan bulanan minimum daripada sumber yang stabil, seperti pencen, pelaburan atau pekerjaan.

Pemohon juga dikehendaki memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun simpanan tetap di bank Malaysia. Jumlah tertentu boleh berbeza dan bergantung kepada umur pemohon dan keadaan kewangan.

Malaysia, dalam perubahan dasar terakhirnya, meningkatkan keperluan deposit daripada RM150,000 kepada RM300,000 bagi mereka di bawah umur 50 tahun dan menaikkannya kepada RM1 juta bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun.

Presiden Persatuan Perunding MM2H Anthony Liew Yong Huat mencadangkan umur pemohon diturunkan kepada 25 tahun.

Ini akan membantu menarik “individu muda dan dinamik” yang merancang untuk tinggal di Malaysia untuk pendidikan anak-anak mereka, katanya.

“Ramai daripada mereka adalah teknokrat dan profesional dalam sektor teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan e-dagang,” kata Liew.

Mengenai kelonggaran kriteria pendapatan, beliau berkata pemohon yang sudah bersara mungkin sukar untuk memenuhi syarat ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap, tetapi mempunyai aset cair.

“Pendapatan mereka adalah daripada pulangan pelaburan yang datang dalam tempoh masa tertentu. Ia mungkin setiap tahun atau lebih lama, terutamanya jika mereka melabur dalam pasaran saham.”

Kriteria semasa adalah “tidak munasabah dan terlalu tinggi”, kata Liew, yang menyukarkan individu dan syarikat sepertinya untuk menarik pemohon.

“Mendepositkan RM1 juta dalam bank tidak memberikan sebarang faedah ketara atau memberikan mereka status unik,” katanya.

“Satu daripada tujuan MM2H adalah untuk menggalakkan warga asing bersara dan berbelanja di Malaysia, tetapi kerajaan tidak berbuat demikian,” katanya.

Liew berkata negara jiran yang mempunyai program sama mempunyai syarat lebih baik dan pemohon diberi “layanan VIP”.

“Bagi keperluan deposit, ramai pemohon mampu membayar jumlah itu, tetapi mereka tidak nampak faedahnya.

“Orang kaya lebih suka melabur wang mereka daripada hanya mendepositkannya untuk faedah.”

Liew berkata MM2H boleh menjadi lebih menarik dan berdaya saing jika keperluan deposit dikurangkan kepada antara RM500,000 dan RM750,000.

“Kami berharap pelarasan kerajaan akan benar-benar mencerminkan prospek pasaran. Jika dasar ini lebih mudah untuk menarik pemohon, saya percaya ia akan membawa kepada peningkatan dua kali ganda dalam permohonan.”

Program MM2H tidak terpakai di Sarawak dan Sabah.

Kedua-dua negeri mempunyai autonomi imigresen dan program mereka sendiri. – 19 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen