DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) memutuskan untuk tidak menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 bulan ini.
Dalam catatan di Facebook penerbit tempatan itu berkata keputusan itu selaras dengan pendirian kerajaan Malaysia berhubung konflik di Palestin.
“Selaras dengan pendirian kerajaan dalam konflik Palestin-Israel pada ketika ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 (Frankfurter Buchmesse) yang dijadualkan berlangsung di Frankfurt, Jerman.
KPM dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas penganjur secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel.
“Kementerian tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Keputusan yang diambil KPM adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin,” kata kementerian.
Gesaan itu dibuat susulan perang yang meletus pada 7 Oktober lalu antara Israel dan Hamas. – 17 Oktober, 2023.
Komen