SPRM saman 2 firma guaman berhubung dokumen penyelesaian 1MDB


SPRM mengambil tindakan undang-undang terhadap dua firma guaman berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menurut laporan berita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan undang-undang terhadap dua firma guaman berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menurut laporan berita.

Dilaporkan SPRM sedang mencari dokumen daripada firma guaman yang dikaitkan dengan perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan AmBank.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi adalah terhadap peguam Rosli Dahlan dan firmanya Rosli Dahlan Saravanan dan peguam Chetan Jethwani serta firmanya Chetan Jethwani & Company dan responden lain.

Dalam permohonannya bertarikh 11 Oktober pihak pendakwaan berkata mereka sedang mendapatkan dokumen di bawah “bahan dan maklumat yang dilindungi” firma itu untuk membantu siasatan agensi berhubung dakwaan Rosli dan Chetan terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram berhubung AS$3.9 bilion (RM18.5 bilion) dan penyelesaian RM2.83 bilion AmBank dengan kerajaan Malaysia berhubung 1MDB.

Permohonan SPRM terhadap firma Chetan ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Jamil Hussin pagi ini.

Permohonan terhadap firma Rosli akan dikemukakan di hadapan Hakim K Muniandy esok.

Menurut dokumen mahkamah pihak pendakwaan berkata SPRM berdepan halangan dalam mendapatkan dokumen tersebut.

Mereka cuba menyerbu firma guaman tetapi dokumen dinafikan selepas responden menegaskan perintah mahkamah diperlukan di bawah Seksyen 46 Akta SPRM sebelum menggeledah atau mengambil sebarang dokumen dari premisnya.

Dilaporkan SPRM cuba menyerbu firma itu pada 6 Oktober berkaitan siasatan.

Bagi serbuan ke atas firma guaman mereka pihak berkuasa tidak dibenarkan mengakses mana-mana dokumen pelanggan mereka di premisnya.

Peguam juga menegaskan kelakuan pihak berkuasa adalah melanggar keistimewaan profesional undang-undang.

Pada 7 Ogos firma guaman Rosli Dahlan Saravana mengesahkan tiada dokumen pelanggannya dirampas semasa serbuan SPRM di pejabatnya.

RDS berkata pegawai SPRM tidak mempunyai akses kepada mana-mana dokumen pelanggannya.
 
“Sebagai firma guaman kami komited untuk mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan, eksploitasi atau paksaan oleh mana-mana pihak berkuasa semasa kami bertindak untuk pelanggan kami.

“Kami tetap komited dengan prinsip ini dan kami akan terus melindungi hak undang-undang dan kepentingan semua pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan. – 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen