Lesen MYAirline akan digantung, kata Loke


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline yang ditutup minggu lepas akan digantung lesen operasinya. – Gambar fail The Malaysian Insight 16 Oktober, 2023.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah MYAirline yang ditutup minggu lepas akan digantung lesen operasinya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata mereka akan menggantung lesen MYAirline buat masa ini.

Syarikat penerbangan perlu mempunyai dua lesen untuk beroperasi sebagai pengendali udara komersial, iaitu lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC).

Loke bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pihak berkuasa akan menggantung ASL atau AOC MYAirlines.

Beliau juga berkata MYAirline akan mengadakan sidang media hari ini dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung syarikat itu.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan ketua pegawai eksekutif sementara MYAirline meletak jawatan sementara syarikat peminjam minta pesawat dikembalikan

Laporan itu berkata syarikat itu diuruskan oleh eksekutif bertanggungjawab interimnya Azharuddin Abdul Rahman selepas peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif sementara Stuart Cross.

Akhbar itu memetik sumber, melaporkan syarikat pinjaman pesawat meminta syarikat penerbangan itu memulangkan sembilan Airbus A320.

Syarikat berkenaan adalah Aviation Capital Group LLC, AerCap Holdings NV, Aircastle Ltd, Avolon, Carlyle Aviation Partners, Genesis, Mizuho dan SMBC Aviation Capital.

MYAirline pada Mei melaporkan ia memperoleh perjanjian pinjaman untuk 17 pesawat bernilai RM2.1 bilion.

Masalah syarikat itu mulai diketahui dengan peletakan jawatan CEO Rayner Teo, diikuti pemberhentian perkhidmatannya.

Syarikat tambang murah itu melakukan penerbangan pertama pada 1 Disember, 2022 dan mengalami masalah kewangan selepas kurang setahun beroperasi.

Portal itu melaporkan tidak jelas sama ada MYAirline memohon pembaharuan lesen perkhidmatan udara (ASL) ataupun tidak. – 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen