Kumpulan gesa kerajaan selesaikan masalah banjir berulang


Noel Achariam

Belanjawan 2024 memperuntukkan RM22 bilion untuk Rancangan Malaysia ke-12 bagi membiayai projek tebatan banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2023.

WALAUPUN inisiatif tebatan banjir kerajaan di bawah Belanjawan 2024 sesuatu yang patut dipuji, banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menangani banjir kilat, kata Khazanah Alam Malaysia (Peka).

Presidennya, Damien Thanam Divean berkata selama ini jutaan ringgit dibelanjakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa persekutuan untuk tebatan banjir, pelebaran sungai dan projek lain tetapi langkah itu tidak berjaya.

“Apa yang kita lihat ialah dana dibelanjakan untuk pelbagai projek, tetapi banjir tetap berlaku.

“Nampaknya projek tebatan banjir tidka bertahan 10 atau 20 tahun. Ada projek yang masih berjalan.

“Jadi, di mana silapnya? Satu kajian perlu dijalankan untuk mendapatkan keputusan yang memuaskan hati kerana ini duit pembayar cukai,” katanya kepada  The Malaysian Insight.

Pada Jumaat ketika pengumuman Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata RM22 bilion diperuntukkan untuk Rancangan Malaysia ke-12 bagi membiayai projek tebatan banjir.

Tahun depan, RM11.8 bilion akan digunakan untuk membiayai 33 projek tebatan banjir di seluruh negara.

Anwar berkata kerajaan juga akan memperuntukkan RM20 juta kepada 150 pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja membaiki longkang yang rosak.

Bagi ibu kota, Damien berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membelanjakan jutaan ringgit sejak sedekad lalu tetapi banjir masih berlaku.

“DBKL perlu kaji kenapa banjir kerap berulang. Bandar ini masih terdedah kepada banjir.

“Selangor juga perlu bertindak kerana sungai merentasi Kuala Lumpur.

“Jadi, kedua-duanya DBKL dan pihak berkuasa Selangor bersama agensi persekutuan perlu bekerjasama untuk mencegah banjir kilat.”

Damien berkata fokus perlu diberikan kepada Kuala Lumpur dan Selangor kerana ia kawasan populasi tinggi.

“Perkara ini perlu diuruskan supaya kita dapat menghapuskan semua kawasan berisiko tinggi,” katanya, menambah SOP Agensi Pengurusan Bencana Negara perlu disiarkan supaya semua orang tahu.

Katanya, semua agensi perlu bekerjasama dengan pemegang taruh, profesional dan ahli akademik berkenaan amalan terbaik boleh dilakukan, yang berkesan dan mencukupi.

“Mereka perlu wujudkan pelan tentang bagaimana hendak berdepan dengan musim tengkujuh akan datang dan kemudian memberitahunya kepada masyarakat umum.” – 16 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen