Kadar inflasi diunjur antara 2.1 hingga 3.5% pada 2024


Inflasi negara dijangka kekal sederhana bagi tempoh empat bulan terakhir manakala inflasi teras kekal tinggi dalam tempoh yang sama berbanding purata jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

KADAR inflasi diunjur mencatat antara 2.1% hingga 3.6% pada 2024, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan yang disiarkan hari ini.

Unjuran tersebut sebahagiannya disebabkan oleh peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

Selain itu prospek inflasi berhadapan risiko turun naik kadar pertukaran mata wang selain faktor berkaitan penawaran seperti harga komoditi global, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.

Untuk keseluruhan tahun, inflasi dianggarkan antara 2.5% hingga 3%.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.8% dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023 disumbangkan oleh trend harga komoditi global yang menyederhana, pengurangan gangguan berkaitan bekalan, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih sedia ada serta kesan tertangguh berikutan normalisasi kadar dasar semalaman (OPR).

“Inflasi dijangka kekal sederhana bagi tempoh empat bulan terakhir manakala inflasi teras kekal tinggi dalam tempoh yang sama berbanding purata jangka masa panjang,” katanya.

Di samping itu, menurut Kementerian Kewangan, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dijangka meningkat menjelang 2024 antara 0.1% hingga 2.1% sejajar dengan kesan asas yang berkurangan dan aktiviti pengeluaran yang lebih baik.

Kementerian berkata IHPR berdasarkan pengeluaran tempatan merosot sebanyak 2.4% pada lapan bulan pertama 2023 disebabkan oleh harga komoditi global yang menyederhana terutamanya minyak mentah.

“Berdasarkan sektor tertentu, penguncupan dalam IHPR sebahagian besarnya didorong oleh penurunan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (19.4%) serta perlombongan (8.4%).

“Secara keseluruhan, IHPR dijangka menyusut antara -2.5% hingga -0.5% pada 2023 disebabkan oleh kos input global yang lebih rendah,” katanya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen