OPR mungkin hampir cecah paras optimal, kata ahli ekonomi


BNM bertindak menaikkan OPR bagi mewujudkan satu zon penampan untuk menangani sebarang kesukaran ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2023.

KADAR Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan besar menghampiri paras optimalnya berdasarkan faktor-faktor sebelum ini yang menyaksikan pergerakan dalam jajaran 3.0-3.25%, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun rekod atau sejarah sebelum ini boleh dijadikan panduan bagi menentukan angka OPR, namun tiada siapa dapat menyatakan kadar paling tepat untuk masa depan.

“Tiada siapa pun dapat menyatakan apakah paras optimal atau dirujuk ahli ekonomi sebagai kadar neutral. Bagaimanapun, kadar pada 3.0% berkemungkinan besar menunjukkan kita menghampiri paras optimal.

“Kita juga hanya mengetahui ekonomi pulih apabila perkembangan ekonomi berada pada kadar 8.7% tahun lepas. Paras OPR yang terlalu rendah juga hanya menjejaskan lagi ekonomi negara,” katanya pada program “The Brief” terbitan Bernama TV, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Afzanizam berkata Bank Negara Malaysia sebagai bank pusat yang bertanggungjawab dalam aspek dasar monetari negara, bertindak menaikkan OPR bagi mewujudkan satu zon penampan untuk menangani sebarang kesukaran ekonomi.

“Sebelum ini, kita melihat bagaimana OPR dikurangkan daripada 3.0% kepada 1.75% pada 2020 kerana perlu menangani Covid-19. Tetapi, apabila ekonomi mulai pulih, OPR dinaikkan lagi sebanyak 125 mata asas sehingga sekarang,” katanya.

Mengulas prospek masa depan, beliau berkata ketidaktentuan ekonomi bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan dan pihak Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut membangkitkan mengenai kemungkinan negara maju mengalami kemelesetan.

“Oleh itu, ada kemungkinannya OPR akan diturunkan di masa depan, tetapi bukan dalam masa terdekat ini,” katanya. – Bernama, 12 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen