RinggitPlus dedah 'kebenaran menyakitkan' tentang kewangan rakyat


Soal selidik RinggitPlus mendedahkan rakyat Malaysia akan berhadapan kedudukan kewangan yang sangat perit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.

RAKYAT Malaysia akan mengalami “kedudukan kewangan yang sangat perit” jika mereka menghadapi kemelesetan global yang akan berlaku di tengah-tengah peningkatan inflasi, menurut satu soal selidik.

Data daripada Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022 telah mendedahkan “pelbagai kebenaran yang menyakitkan tentang keadaan kewangan semasa rakyat, termasuk simpanan yang semakin berkurangan, isu aliran tunai dan trend lain yang membimbangkan.”

Soal selidik itu dilakukan oleh RinggitPlus.com (RinggitPlus), sebuah laman web kewangan yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat fintech Jirnexu Sdn Bhd.

Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus Hann Liew berkata, trend semasa adalah satu “wake-up call” kepada semua pihak untuk mengambil tindakan kerana kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik amat membinasakan dan rakyat Malaysia berdepan cabaran kewangan sebenar yang perlu ditangani.

“Ia adalah realiti yang pahit bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga untuk penggubal dasar dan pemain industri.

“Ini adalah isu generasi yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dengan sokongan berterusan dan bersepadu daripada semua pihak. Kita tidak boleh tinggalkan sesiapa,” katanya pada pelancaran keputusan RMFLS 2022 di Menara Etiqa di Kuala Lumpur hari ini.

RinggitPlus juga berkata rakyat daripada semua lapisan masyarakat kini menghadapi cabaran kewangan yang membarah hingga menyebabkan mereka terdedah kepada kejutan kewangan, dengan mengambil kira bahawa pelbagai bantuan kewangan telah mengurangkan kesan ke atas mereka pada 2020 dan 2021.

“Sebanyak 70 peratus responden menyatakan mereka menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau langsung tidak mampu untuk menyimpan.

“Ini adalah keputusan terburuk yang diperoleh oleh RMFLS dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang berasingan.

Bilangan rakyat Malaysia yang menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan juga telah menurun dengan ketara, katanya.

“Daripada 20 peratus pada 2020, angka itu telah menurun empat kali lebih rendah kepada hanya 5 peratus pada 2022.”

Dapatan RMFLS 2022 itu juga menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia bergelut dengan simpanan yang kurang di tangan dengan 53 peratus responden menyatakan mereka boleh bertahan selama tiga bulan atau kurang dengan hanya bergantung pada simpanan mereka (tahun lepas pada kadar 52 peratus).

“Trend yang sama juga mendapati yang mana 55 peratus rakyat Malaysia membelanjakan dengan tepat atau lebih daripada apa yang mereka peroleh setiap bulan (Sebanyak 44 peratus tahun lepas), pada asasnya bergantung dari gaji ke gaji untuk hidup,” kata RinggitPlus.

Dengan kurangnya berjimat dan kos barangan yang lebih tinggi, soal selidik itu juga menyerlahkan trend yang membimbangkan.

“Lebih ramai pemegang kad kredit tidak membayar bil secara penuh dengan hanya 55 peratus (berbuat demikian) pada 2022 berbanding 70 peratus tahun lepas,” katanya.

RinggitPlus juga mendapati rakyat Malaysia lebih memilih pelepasan kewangan jangka pendek berbanding kestabilan kewangan jangka panjang.

“Sebanyak 66 peratus responden berusia 21 tahun ke atas menyatakan mereka akan mempertimbangkan untuk memohon lebih banyak pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika kerajaan membenarkannya,” katanya.

Tinjauan itu dijalankan dalam tiga bahasa melalui soal selidik dalam talian yang dikawal selia sendiri melalui platform analitik pihak ketiga, berdasarkan persampelan 3,144 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas. – Bernama, 6 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen