Pertumbuhan ekonomi negara terpantas dalam Asean, kestabilan politik penting, kata KJ


MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan ekonomi terpantas dalam kalangan enam negara Asean pada suku ketiga dan juga bagi sembilan bulan pertama tahun ini, dan pada masa yang sama negara terus membina daya tahan untuk menghadapi cabaran global yang kuat,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Dipermudahkan oleh langkah-langkah tegas dalam peralihan ke fasa endemik, kita sedang membina daya tahan untuk menghadapi cabaran global yang kuat.

“Kestabilan politik adalah penting menjelang pilihan raya pada 19 November,” kata Khairy dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter.

Memetik data daripada pelbagai sumber di Asean, beliau menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang memberangsangkan iaitu 14.2 peratus pada suku ketiga.

Menurut carta yang digunakan beliau dalam catatan Twitter yang sama, purata pertumbuhan KDNK sembilan bulan Malaysia iaitu pada 9.36 peratus juga merupakan yang tertinggi di rantau ini, mendahului Vietnam di tempat kedua pada 8.8 peratus.

KDNK Vietnam meningkat 13.67 peratus pada suku ketiga, diikuti  Filipina (7.6 peratus), Indonesia (5.72 peratus) dan Singapura (4.4 peratus).

Bagaimanapun, Thailand masih belum mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiganya.

Pada suku kedua, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.9 peratus, juga tertinggi dalam kalangan enam negara Asean.

Vietnam mencatatkan pengembangan 7.72 peratus pada suku kedua, Filipina (7.5 peratus), Indonesia (5.44 peratus), Singapura (4.4 peratus) dan Thailand (2.5 peratus).

Rakyat Malaysia akan membuang undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen