Hamzah dakwa ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut sokong kerajaan


Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika tidak menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata kerajaan perpaduan mengugut dan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain bertujuan untuk kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Perikatan Nasional mengutuk keras tindakan kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang,” katanya.

Kerajaan perpaduan hilang majoriti dua pertiga selepas Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bulan lalu menarik balik sokongan sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hamzah mendakwa pada 26 September lalu Iskandar Dzulkarnain didatangi seorang taikun perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar di sebuah lokasi sekitar Damansara. 

“Beliau (Iskandar Dzulkarnain) telah ditekan dan didesak untuk menyokong perdana menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.”

Kemudian, baru-baru ini pada 1 Oktober, ahli Parlimen Kuala Kangsar itu dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara, dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan, kata Hamzah.

Beliau juga mendakwa Iskandar Dzulkarnain malah kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadapnya ketika bertemu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

“PN mendesak kerajaan madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen. 

“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Pada masa yang sama, kata Hamzah, PN kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Iskandar Dzulkarnain. 

“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.”

Kenyataan Hamzah itu dikeluarkan selepas Iskandar Dzulkarnain semalam mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, namun tidak meninggalkan partinya Bersatu.

Keputusannya juga bertujuan menguji keikhlasan Anwar mengotakan janji untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan, kata Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu dalam satu kenyataan.

Beliau dalam pada itu menegaskan keputusannya juga bukan bermaksud beliau khianat kepada Bersatu. Katanya, beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dalam apa juga keadaan “atas prinsip taat dan setia kepada parti”.

Iskandar mengakui beliau mungkin dikenakan tindakan disiplin oleh Bersatu namun beliau juga tidak sanggup pengundinya di Kuala Kangsar menjadi mangsa politik.

Mengulas perkara itu, Hamzah berkata Mesyuarat Biro Politik Bersatu akan memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. – 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen