Ahli Parlimen Kuala Kangsar sokong kerajaan Anwar


Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid hari ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar Youtube, 12 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid hari ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun tidak meninggalkan partinya Bersatu.

Dalam satu kenyataan, Iskandar berkata keputusannya juga bertujuan menguji keikhlasan Anwar mengotakan janji untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh yang demikian, saya menyokong YAB PM atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar menegaskan keputusannya juga bukan bermaksud beliau khianat kepada Bersatu.

Katanya, beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dalam apa juga keadaan “atas prinsip taat dan setia kepada parti”.

Iskandar mengakui beliau mungkin dikenakan tindakan disiplin oleh Bersatu namun beliau juga tidak sanggup pengundinya di Kuala Kangsar menjadi mangsa politik.

“Saya tidak sanggup melihat pengundi-pengundi di kawasan saya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif inisiatif Kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga pilihan raya umum yang seterusnya,” katanya.

Iskandar menang Pilihan Raya Umum ke-15 mengalahkan calon Barisan Nasional Maslin Sham Razman, Ahmad Termizi Ramli (Pakatan Harapan) dan Yusmalia Mohamad Yusof (Gerakan Tanah Air).

Beliau meraih 40% undi dan menang dengan majoriti 3,566 undi.

Bulan lepas, Anwar memberitahu ahli parlimen pembangkang supaya berunding dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan parlimen masing-masing.

Beliau juga mengumumkan rundingan bagi pihak kerajaan akan dilakukan melalui Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Awal minggu ini, Fadillah berkata hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda yang sudah bertemu berbincang dengannya. – 12 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen