BATIK Air dan AirAsia menawarkan tambang istimewa untuk penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline.
Pemberhentian operasi mendadak MYAirline hari ini menyebabkan ratusan pemegang tiket terkandas.
Batik Air berkata ia membantu penumpang MYAirline yang terjejas “di saat memerlukan ini”.
Syarikat penerbangan itu menawarkan pemegang tiket MYAirline perjalanan sehala ke Pulau Pinang pada kadar istimewa RM129, Langkawi (RM159), Kuching (RM199), Kota Kinabalu (RM299) dan Don Muang-Bangkok (RM299).
Untuk menerima tawaran itu, penumpang yang terjejas mesti menghantar e-mel salinan tiket MYAirline mereka apabila mereka membuat tempahan baharu di [email protected].
Tawaran sah sehingga 30 November.
“Dengan cabaran yang sedang dihadapi oleh penumpang pada masa ini, matlamat kami adalah untuk membantu penumpang supaya mereka dapat sampai ke destinasi mereka dengan mudah.
“Kami berada di sini untuk menyokong penumpang yang terjejas pada masa ini,” kata pengarah strategik kumpulan Batik Air Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan hari ini.
AirAsia juga mengumumkan tawaran istimewa, diskaun 50% untuk tambang asas, kepada penumpang MYAirline.
Tawaran itu terpakai sehingga 30 November kepada semua penumpang MYAirline dengan tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Baru, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabaku-Tawau, dan Don Muang-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok.
Untuk menebus tawaran ini, penumpang yang terjejas boleh mengemukakan tempahan penerbangan MYAirline mereka yang disahkan di Kaunter Jualan AirAsia di KL Sentral di Kuala Lumpur atau di lapangan terbang destinasi tersebut. – 12 Oktober, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen