Permohonan bawa pulang aset bekas peguam 1MDB dapat respons baik Singapura, AS


Jasmine Loo Ai Swan dipercayai merupakan individu yang mempunyai maklumat berkenaan 1MDB ditahan pada 7 Julai lepas bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan. – Gambar Facebook, 12 Oktober, 2023.

PERMOHONAN untuk membawa pulang aset dipercayai milik bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan bernilai RM93.2 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB menerima respons baik daripada pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis optimis aset berkenaan akan dapat dipulangkan kepada negara.

Beliau berkata permohonan membawa pulang aset berkenaan juga datang daripada pihak Loo sendiri.

“Permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan dihantar kepada pihak berkuasa negara-negara terlibat antaranya Singapura dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Loo, bekas Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB yang dipercayai merupakan individu yang mempunyai maklumat berkenaan 1MDB ditahan pada 7 Julai lepas bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa, Ramli berkata siasatan kes berkenaan masih di peringkat awal.

Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbillion dollar dana 1MDB dibawa pulang ke Malaysia oleh pasukan khas PDRM bagi membantu siasatan pihak berkuasa negara ini berkaitan 1MDB.

Pada 19 Disember 2018 Roger Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs, berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Pada 9 Januari lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ng daripada empat pertuduhan itu. – Bernama, 12 Oktober 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen