Beri banyak peruntukan dalam Bajet 2024 untuk martabatkan Orang Asli, kata aktivis


Noel Achariam

Aktivis menggesa Putrajaya memperuntukkan lebih banyak dana dalam Bajet 2024 untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober 2023.

AKTIVIS menggesa Putrajaya memperuntukkan lebih banyak dana dalam Bajet 2024 untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli.

Tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM305 juta untuk masyarakat Orang Asli berbanding RM274 juta pada 2022.

Peguam dan aktivis Amani Williams-Hunt Abdullah yang dikenali sebagai Bah Tony berkata Orang Asli memerlukan lebih banyak dana supaya lebih banyak isu kebajikan dapat ditangani.

Aktivis yang merupakan suku kaum Semai di Perak itu berkata kerajaan memperuntukkan bajet untuk Orang Asli setiap tahun tetapi tidak pasti sama ada untuk tujuan pembangunan atau kos pentadbiran.

“Perlu ada ketelusan dan pecahan bajet tahunan.

“Kami berharap bahagian pembangunan akan ditingkatkan, yang akan membantu Orang Asli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Amani berkata masyarakat Orang Asli turut berkongsi masalah kekurangan dana untuk aktiviti keusahawanan.

“Ia (peruntukan) harus ditambah dan disediakan kepada mereka. Mereka mendapat sedikit dana untuk menjalankan perniagaan, tetapi ia adalah nominal,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan dana untuk pendidikan anak-anak Orang Asli.

“Peruntukan pengangkutan untuk menghantar anak Orang Asli ke sekolah perlu ditambah dan (kerajaan mesti) menyediakan peralatan sekolah termasuk komputer jika boleh.

“Jika tiada kekangan bajet, maka (masyarakat) perlu diberi peruntukan yang mencukupi,” katanya.

Bagi pembangunan katanya kerajaan perlu menumpukan usaha di kawasan luar bandar seperti di Kelantan yang tiada jalan raya, jambatan atau lampu jalan.

Beliau juga menyeru lebih ramai juruukur untuk memetakan tanah Orang Asli.

“Kerajaan berkata mereka tidak boleh meninjau tanah Orang Asli atau meminta kerajaan negeri mewartakan tanah-tanah ini kerana ia kekurangan dana untuk membayar juruukur.

“Kita harap ia dapat menambah peruntukan untuk tujuan ini supaya tanah Orang Asli dapat diwartakan dan dilindungi.

“Ada kes tanah di mana Orang Asli menang di mahkamah tetapi (pihak berkuasa) kata mereka tidak boleh ukur tanah (untuk diwartakan) kerana mereka tiada pembiayaan.

“Sekiranya ada arahan daripada mahkamah, kerajaan negeri perlu menjalankan proses yang diperlukan untuk mewartakan kawasan itu,” katanya.

Amani berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan melantik juruukur kerana mereka perlu mengemukakan permohonan pewartaan tanah kepada kerajaan negeri.

Pengarah Eksekutif Pusat Keprihatinan Orang Asli Colin Nicholas berkata masyarakat Orang Asli membangkitkan isu yang sama sebelum pembentangan setiap bajet tetapi keadaannya tidak banyak berubah.

Nicholas menggesa peruntukan khas untuk kecemasan seperti untuk rawatan perubatan dan anjakan banjir.

Beliau berkata jika Jakoa kekurangan dana mereka mesti memohon lebih banyak peruntukan.

Bagi kebajikan Orang Asli, beliau berkata selepas 63 tahun kadar kemiskinan dalam kalangan orang asli ialah 89%.

“Ke mana perginya semua dana pembangunan? Tunjukkan hasilnya kepada orang ramai.

“Setakat ini perlu ada penambahbaikan dalam bilangan jalan dan rumah yang dibina, (dan ketersediaan) bekalan air.

“Ia bukan soal meningkatkan bajet, tetapi bagaimana ia digunakan,” kata Nicholas. – 12 Oktober 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen