Beri banyak peruntukan untuk doktor kontrak dapatkan jawatan tetap, kata kumpulan


Noel Achariam

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak mahu kerajaan memberikan lebih banyak peruntukkan dalam Bajet 2024 untuk doktor kontrak mendapatkan pekerjaan tetap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2023.

HARTAL Doktor Kontrak (HDK) menggesa Putrajaya memasukkan lebih banyak peruntukan dalam Bajet 2024 untuk doktor kontrak mendapat pekerjaan tetap.

Mereka berkata ia adalah isu penting yang melibatkan 15,000 doktor kontrak di negara ini.

Jurucakap HDK Dr Yassin Muhammad berkata mereka berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai isu itu dan diberitahu ia adalah proses berterusan kerana mereka masih berusaha untuk meneruskannya.

“Cadangan kami kepada kerajaan adalah untuk memasukkan peruntukan dalam Bajet 2024 bagi memberi 3,000 hingga 4,000 jawatan tetap doktor.

“Jika ini boleh dilakukan setiap tahun maka ia bagus. Kami membincangkan isu-isu ini dengan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata bagi pengambilan tahun ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan tawaran sekali sahaja sebanyak 4,000 jawatan tetap berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana pengambilan kira-kira 1,500 setahun.

“Purata pengambilan doktor kontrak setahun adalah kira-kira 4,000 hingga 5,000 yang berstatus kontrak, tetapi kerajaan hanya memberi 1,500 slot tetap setahun.

“Ketika ini kira-kira 15,000 doktor kontrak yang masih mencari pekerjaan sepenuh masa termasuk 5,000 doktor kontrak yang menyertai tahun ini.

“Kita tidak pasti sama ada mereka akan menambah bilangan jawatan tetap tahun depan,” katanya.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada Jun lalu mengumumkan KKM akan segera mengisi kekosongan jawatan doktor kontrak di klinik dan hospital kerajaan berikutan penyerapan hampir 4,000 doktor kontrak ke jawatan tetap.

Katanya langkah segera diambil bagi mengelak kekurangan pegawai perubatan selain memastikan perkhidmatan kesihatan negara berjalan lancar.

Yassin berkata kerajaan juga perlu menyediakan jawatan tetap untuk doktor gigi dan ahli farmasi.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara kepada KKM.

“Ini termasuk peruntukan untuk doktor dan perbelanjaan menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat kerana mereka kini tertekan kerana terlalu ramai pesakit,” katanya.

HDK dalam satu kenyataan berkata pada 2022 seramai 1,354 pegawai perubatan kontrak meletak jawatan, melebihi jumlah keseluruhan daripada dua tahun sebelumnya.

“Ini menandakan peningkatan 1,131% yang mengejutkan dalam tempoh lima tahun dengan peletakan jawatan meningkat daripada 110 pada 2017 untuk mencecah empat angka buat kali pertama tahun lepas.

“Memastikan kestabilan mereka adalah penting untuk kecekapan dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Antara cadangan lain untuk Bajet 2024 ialah ‘Skim Perubatan Madani’ perlu diperluaskan untuk lebih banyak klinik swasta menyertainya.

“Pada masa ini, skim ini memberi perkhidmatan kepada sebahagian terhad penduduk yang disasarkan kepada B40 dan terutamanya di bandar-bandar besar.

“Meningkatkan skopnya akan meningkatkan kebolehcapaian penjagaan kesihatan dengan ketara kepada semua orang dan mengurangkan isu kesesakan yang melanda jabatan kecemasan di hospital kerajaan,” katanya.

HDK juga menambah peruntukan yang besar adalah penting untuk menaik taraf hospital dan klinik di seluruh negara.

“Kebanyakan daripadanya kini berada dalam keadaan rosak. Kemudahan moden yang serba lengkap adalah penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

HDK menjadi suara doktor kontrak di negara ini apabila mereka menganjurkan mogok aman di seluruh negara pada 26 Julai 2021 membantah sistem kontrak kerajaan dalam melantik pegawai perubatan yang dilaksanakan pada akhir 2016. – 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen