Sudah tiba masanya Malaysia tandatangani Konvensyen 1951


HARI ini dunia sekali lagi dikejutkan dengan pertempuran sengit Hamas dan Israel. Perang ini bukanlah yang pertama kali dalam sejarah dan perjuangan rakyat Palestin sentiasa disokong penuh oleh Malaysia. 

Namun begitu, hipokrasi seolah-olah menebal kerana Malaysia tidak pernah menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.

Kira-kira 149 negara menyertai satu atau kedua-dua konvensyen ini, tetapi Malaysia tidak pernah memeterainya. 

Hal ini bermakna di Malaysia, pelarian yang tidak mempunyai visa perjalanan yang sah disifatkan sebagai “pendatang tanpa izin” dan dinafikan hak asasi seperti hak untuk bekerja atau bersekolah sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.

Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap pendatang tanpa izin dan berisiko ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

Keadaan ini tidak selari dengan ucapan pemimpin negara yang begitu prihatin dengan nasib pelarian perang seperti rakyat Palestin yang kini sedang bermandi darah mempertahankan negara mereka. 

Walaupun Malaysia tidak tersenarai dalam Konvensyen tersebut tetapi kita tetap menerima pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Namun begitu, pelarian di Malaysia yang mempunyai kad UNHCR atau tidak, mereka tetap didefinasikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh pihak kerajaan.

Harus diingat kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu komited dalam meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 satu ketika dahulu oleh itu ini adalah masa yang tepat untuk membantu pelarian antarabangsa terutamanya negara yang sedang berperang seperti negara Palestin yang sedang bergolak ketika ini.

Ini juga bermakna kerajaan Malaysia tidak menawarkan sebarang jenis bantuan atau sokongan kewangan kepada pelarian, yang dianggap sebagai “pendatang tanpa izin” mengikut undang-undang imigresen. 

Inisiatif untuk menawarkan akses terhad kepada pelarian dalam pendidikan sentiasa dibiayai oleh kerajaan asing atau organisasi swasta.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 182,000 pelarian dan pencari suaka dari 50 buah negara termasuk Myanmar, Syria, Afghanistan dan Iran.

Walaupun jumlah pelarian yang ramai di negara ini, Malaysia masih tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau protokol 1967 yang berkaitan dengan konvensyen itu. 

Maka, semua pelarian dan pencari suaka di Malaysia mendapat status “pendatang tanpa izin” bawah undang-undang imigresen. 

Tiada gunanya jika kita sekadar bersolidariti dan mengkritik secara terus kekejaman Israel tetapi tidak berniat melindungi hak pelarian yang berada dalam negara ini. 

Oleh itu, saya amat berharap agar kerajaan dapat mengotakan janji tersebut dalam masa terdekat jika serius dalam melindungi hak pelarian di dalam negara ini secara sah. – 11 Oktober, 2023.

* Yuslaini Azmi, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen