ORANG ramai di Laos digesa bersiap sedia menghadapi potensi kesan Taufan Koinu yang akan melintasi Laos dari 9 hingga 15 Oktober, membawa hujan, ribut petir dan angin kencang sekali-sekala di seluruh negara, lapor Xinhua.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos pada Selasa, hujan dan tiupan angin kencang diramalkan untuk wilayah Phongsaly, Huaphan dan Xieng Khuang.
Di barat laut, hujan dan angin kencang dijangka berlaku di wilayah Luang Namtha, Bokeo, Oudomxay, Luang Prabang dan Xayaboury.
Wilayah tengah Vientiane, Bolikhamxay dan Khammuan juga akan mengalami hujan dan tiupan angin.
Di selatan pula akan berlaku ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan di wilayah Champasak, Sekong dan Attapeu.
Orang ramai dinasihatkan untuk memantau ramalan cuaca, kata biro itu.
Banyak rumah di wilayah Vientiane dan Xayaboury kini dinaiki air kerana hujan lebat yang berterusan, tetapi pihak berkuasa tempatan masih belum dapat menilai tahap kerosakan, menurut laporan itu. – Bernama, 11 Oktober, 2023.
Komen