Malaysia mahu tarik minat syarikat berpotensi pada GITEX Global 2023, kata menteri 


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi negara ke GITEX Global 2023, pada 16-20 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu.– Gambar fail The Malaysia Insight, 10 Oktober, 2023.

MALAYSIA mahu menarik minat syarikat berpotensi untuk melabur di negara ini, khususnya dalam ekonomi digital sempena penyertaan Malaysia ke GITEX Global 2023, pada 16-20 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang akan mengetuai delegasi negara berkata dalam satu sesi perbincangan di pameran tersebut, Malaysia akan berkongsi pengalaman dalam melaksanakan rangkaian Internet 5G, dengan syarikat-syarikat tersebut.

“Kalau kita lihat pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G berlaku sangat pantas, kerana dalam tempoh dua tahun, kita berjaya membina hampir 7,000 menara 5G. Ini satu pencapaian yang sangat baik dan ia tidak akan berlaku, sekiranya tiada iltizam dan kemahuan di pihak Digital Nasional Berhad (DNB), kerajaan dan swasta.

“Jadi ini salah satu pengalaman yang mungkin kita boleh ceritakan kepada dunia, selain daripada konsep peralihan daripada single wholesale network kepada dual wholesale network, kerana ini pun tidak ada berlaku dalam dunia dan Malaysia yang mempeloporinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian slogan #KitaAktif dan Program Care For You sempena Bulan Psikologi Jabatan Penyiaran Malaysia di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Fahmi berharap dengan pendedahan seumpama itu, negara-negara luar akan melihat potensi sebenar Malaysia, yang boleh menjadi bukan sahaja sebagai hab pusat pemprosesan data tetapi juga pangkalan operasi bagi mana-mana syarikat yang ingin mengembangkan operasi di rantau Asia.

GITEX Global merupakan pameran teknologi terbesar dan paling inklusif dalam ekonomi digital, kerana akan menampilkan trend terkini, inovasi produk, selain mendekatkan pengunjung dengan syarikat pemula teknologi yang inovatif dalam aspek Metaverse, Web 3.0, Quantum, 6G, Blockchain dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, mengulas bentuk tindakan yang akan dilaksanakan sekiranya pihak pengurusan TikTok berkeras tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kerajaan, Fahmi berkata pengendali media sosial itu perlu diberikan sedikit masa untuk membuat persediaan bersesuaian.

“Memang sebelum ini kita ada minta pihak TikTok adakan pertemuan, tapi ada masalah penjadualan masa tapi kita bersedia untuk bertemu, malah saya percaya mereka juga bersedia memberikan kerjasama.

“…cuma mereka mungkin perlukan sedikit masa untuk menggumpulkan data sebelum dipersembahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan kami (Kementerian Komunikasi dan Multimedia),” katanya.

Beliau berkata ada keperluan untuk berbincang hal itu, kerana timbul pelbagai isu berhubung ‘TikTok Shop’ termasuk berkaitan data peribadi pengguna yang menggunakan aplikasi tersebut.

“Di Indonesia, situasi ini agak mencemaskan tetapi di Malaysia, kita perlu meneliti kesesuaian kerana saya lihat TikTok Shop dan yang platform seumpamanya, ada memberi kesan positif kepada peniaga tetapi juga ada kesan negatif.

“Jadi kita kena pertimbang yang mana lebih (memanfaatkan), supaya akhirnya dapat diusahakan satu solusi menang-menang yang memanfaatkan Malaysia tanpa menjejaskan aspek-aspek keselamatan,” katanya.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memaklumkan, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok, sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.

Ini selepas Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang dalam TikTok bagi melindungi peniaga di luar talian dan pasaran, kerana harga ditawarkan terlalu murah hingga menjejaskan peniagaan kecil dan sederhana di luar premis.

Selain itu, ia untuk menghalang penggunaan data peribadi dalam kepentingan perniagaan, sekali gus ekosistem perdagangan elektronik yang adil, sihat lagi bermanfaat. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen