Congak-congak GPS kekal kuasa 2026


G Manimaran

SEJAK seminggu lalu dua aspek yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan telah menarik perhatian dalam politik negara. Kedua-duanya juga ada hubung kaitan dengan pilihan raya dan sejauh mana boleh dieksploitasi untuk  menawan hati pengundi lalu kekal berkuasa.

Di peringkat Sarawak, Premiernya Abang Johari Openg mengumumkan bahawa pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu untuk anak jati negeri dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2026. Tahun 2026 merupakan tahun bagi Sarawak perlu mengadakan pilihan raya umum negeri seterusnya.

Pilihan raya negeri ke-12 telah diadakan pada Disember 2021, lewat hampir enam bulan berikutan penguatkuasaan darurat yang membawa kepada penggantungan Dewan Undangan Negeri, bukannya sahaja di Sarawak, tetapi juga di seluruh negara.

Dalam pada itu, di peringkat nasional pemberian diskaun untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali menjadi polemik; susulan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin bahawa keputusan sama ada insentif diskaun bayaran balik pinjaman akan diteruskan dalam Belanjawan 2024 atau tidak tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MoF). Belanjawan 2024 akan dibentangkan Jumaat ini.

“Apa-apa perkara mengenai perkara itu (insentif diskaun bayaran balik PTPTN), ia tertakluk kepada keputusan MOF,” kata beliau.

Kata Khaled, setakat ini tempoh diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang telah tamat pada 31 Mei lepas seperti yang diumumkan Anwar Ibrahim (Menteri Kewangan dan Perdana Menteri) semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas tidak dilanjutkan.

Di sudut pandangan politik Malaysia, PTPTN menjadi duri dalam daging terutama sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Malah ia terus dijadikan modal kempen pilihan raya. Ia melibatkan kedudukan aspek pendidikan dan kewangan.

Begitu juga dasar yang dilontarkan oleh Abang Johari. Sekiranya pendidikan percuma menjadi kenyataan bermakna Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dalam menawan hati pengundinya. Apatah lagi ia melibatkan golongan muda.

Lebih separuh pengundi merupakan golongan muda, dan komposisi mereka akan terus meningkat dalam tahun-tahun akan datang. Golongan muda bakal menentukan hala tuju sokongan dalam PRU lepas dan selepas ini. 

Kata Abang Johari, “unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

“Saya boleh katakan 2026 (untuk menyediakan pendidikan universiti percuma) sebab saya telah congak-congak kekuatan ekonomi kita akan lebih kuat pada 2026.”

Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah pun memulakan perhitungan signifikan untuk menghadapi pilihan raya negeri dalam tiga tahun lagi.

Dalam pilihan raya negeri dua tahun lalu, GPS memperoleh kemenangan luar biasa. Gabungan itu menguasai 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Pencapaian itu merupakan antara keputusan terbaik bagi GPS sebagai gabungan terbaharu. Pada tahun 2001, Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan keseluruhan 96.8%.

Pilihan raya negeri 2021 merupakan yang pertama bagi GPS yang dibentuk selepas PRU14 pada tahun 2018 apabila empat buah parti di Sarawak memutuskan untuk keluar BN.

Sejak itu kepimpinan negeri mahu memfokus kepada parti-parti yang berasaskan identiti Bumi Kenyalang. Sementara misi itu semakin menjadi realiti, GPS mengambil langkah ke hadapan untuk mengekalkan mandat.

Dalam politik kebijaksanaan dan keupayaan menggunakan apa jua isu demi kepentingan politik lalu mengekalkan kuasa dikatakan sebagai ‘game changer’, yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Parti politik dan ahli-ahli politik perlu bijak mengubah isu sebagai peluang untuk menarik sokongan pengundi.

GPS berada dalam kedudukan yang lebih kukuh pada hari ini. GPS menggunakan kesemua sudut untuk mengkekalkan mandat mereka. Daripada aspek politik sehingga sosieokonomi. GPS semakin kukuh dalam kedudukan mereka.

Semalam Abang Johari mengumumkan bahawa sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi parlimen – satu pertiga bagi negeri-negeri Borneo.

Sebagaimana pernah disebutkan oleh sarjana politik Masciulli, Molchanov dan Knight, perbezaan utama antara pemimpin yang berjaya dan pemimpin yang gagal adalah keupayaan seseorang membawa kumpulan sasaran, iaitu pengundi mereka ke matlamat yang diharap dan diinginkan, dan bukan sebaliknya.

Manakala, Marcus Tullius Cicero, orator Rom kuno terhebat, dalam sepucuk surat pada tahun 64 SM kepada abangnya Marcus Cicero, yang bertanding jawatan konsul (pejabat tertinggi Republik) menyebut bahawa ada tiga perkara yang akan menjamin sokongan dalam pilihan raya: galakan atau sokongan, harapan dan keterikatan peribadi.

Anda mesti berusaha menyediakan ciri-ciri ini kepada kumpulan sasaran, kata Cicero.

Hasil kandungan daripada surat itu, Cicero merumuskan 10 perkara yang setiap pemimpin politik perlu amalkan untuk memenangi pilihan raya, iaitu perlu mendapat sokongan keluarga dan rakan, dikelilingi oleh kumpulan sasaran yang akan memberi sokongan, mendapatkan kesemua sokongan dan galakan, menjana sokongan yang luas, menjanjikan segalanya kepada semua orang, mempunyai kemahiran berkomunikasi, mengetahui kelemahan lawan dan berupaya untuk mengeksploitasi mereka, tangani pengundi tanpa rasa segan dan malu, dan memberi harapan kepada orang ramai.

Parti-parti politik jika mahu kekal kuasa perlu membuat janji, memberi harapan dan merealisasikan janji-janji yang dibuat.

Nampaknya GPS menggunakan kemahiran, keperluan dan kelebihan itu untuk kekal kuasa dalam PRN akan datang. Jika pendidikan percuma menjadi kenyataan bermakna sukar untuk menggugat GPS untuk tempoh dua dekad akan datang.

GPS kini muncul ‘game changer’ dalam politik negara. GPS akan pergi jauh dalam mengekalkan pangkalan mandat. Isu dan janji merupakan dua elemen utama dalam pilihan raya. Parti atau pihak yang menggunakannya dengan baik akan kekal berjaya dalam menawan hati pengundi. – 9 Oktober, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen