Imbuhan saja tidak cukup buat rakyat Malaysia di luar negara pulang


Angie Tan

Menurut statistik, kira-kira 1 juta rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara pada 2010, dengan satu pertiga daripada mereka adalah individu berkemahiran tinggi, dan lebih 57% memilih untuk menetap di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2023.

MENAWARKAN lebih banyak imbuhan dan tarikan kepada golongan profesional rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk menarik mereka pulang dan menyumbang kepada kemajuan negara tidak akan berhasil, kata ketua perniagaan.

Mereka berkata terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan, termasuk menawarkan kepada mereka persekitaran kerja yang sama atau lebih baik daripada apa yang terdapat di luar negara.

Selain itu, mereka juga berkata golongan profesional Malaysia di luar negara juga akan melihat kestabilan politik negara, keadaan ekonomi dan taraf pendidikan, sebelum membuat keputusan untuk kembali.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Goh Tian Chuan berkata Putrajaya, melalui agensinya Talent Corporation (TalentCorp), menawarkan insentif yang sangat lumayan sedekad lalu untuk membawa pulang kumpulan ini tetapi ia tidak berjaya.

Beliau berkata antara faedah ditawarkan termasuk 15% rebat kadar cukai tunggal dalam tempoh lima tahun, insentif pembelian kereta pemasangan tempatan atau mengimport sebuah kereta bebas cukai yang nilainya tidak melebihi RM150,000, penempatan semula tanpa cukai, dan taraf pemastautin tetap bagi pasangan warga asing dan anak-anak.

“(Tetapi) hanya beberapa ribu yang menjawab,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ia tidak begitu baik,” tambahnya.

Menurut statistik TalentCorp, terdapat kira-kira 1.86 juta profesional Malaysia bekerja di luar negara atau 5.6% daripada penduduk negara ini.

Statistik itu juga menunjukkan sehingga kini, Talentcorp, sebuah unit di bawah Kementerian Sumber Manusia, hanya berjaya membawa pulang kira-kira 5,000 orang sahaja.

Goh juga merujuk kepada laporan Bank Dunia pada 2011 yang menyatakan kira-kira 1 juta rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara pada 2010, dengan satu pertiga daripada mereka adalah individu berkemahiran tinggi, dan lebih 57% memilih untuk menetap di Singapura.

Beliau berkata bagi individu mahir dan profesional ini pulang ke tanah air, mereka melihat persekitaran kerja di di sini sama ada boleh meneruskan apa yang mereka lakukan ketika berada di luar negara.

“Adakah kita mempunyai persekitaran dan bersedia untuk, sebagai contoh seorang saintis penyelidikan yang pulang?”

Goh berkata golongan profesional ini mengharapkan persediaan di tahap negara maju, bukannya di peringkat negara membangun.

Beberapa doktor Malaysia yang bekerja di luar negara katanya, mempunyai kelayakan yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.

“Adakah kerajaan mengiktiraf kelayakan tersebut?”

Kaji semula dasar

Goh berkata statistik TalentCorp menunjukkan faedah ditawarkan oleh agensi tidak mencukupi untuk membuatkan mereka yang berada di luar negara melepaskan pekerjaan di sana yang lebih lumayan dan kembali ke Malaysia.

Ketidakpuasan hati mereka yang menerima tawaran itu dan kembali bekerja di tanah air juga tidak membantu TalentCorp, katanya.

“Saya secara peribadi tahu sebahagian daripada mereka yang pulang tidak mendapat apa yang mereka harapkan. Apa yang saya ingin katakan ialah insentif dan persekitaran yang diwujudkan untuk menarik mereka pulang adalah sementara.

“Dalam jangka panjang, apa yang diperlukan oleh pakar yang kembali ini bukanlah insentif tetapi peluang untuk terus mencapai dan mencari kepuasan dalam bidang profesional mereka.

“Sudah 13 tahun (sejak TalentCorp ditubuhkan) dan statistik terus menunjukkan lebih sejuta rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara dan membawa kemahiran mereka bersama.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai yang jumlah ini meningkat, dan jika ditambah pekerja teknikal dan buruh, jumlah itu pasti lebih tinggi.” – 6 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen