Kerjaya bidang digital dapat permintaan tinggi semasa pandemik


Aminah Farid

Sebanyak 86% daripada pekerjaan baharu yang disenaraikan adalah berkait digital, kata TelntCorp. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

TUJUH pekerjaan telah disenaraikan sebagai kritikal dan paling mendapat permintaan tinggi semasa pandemik Covid-19, menurut Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Pekerjaan tersebut adalah kejururawatan, profesional pangkalan data, keselamatan siber, pereka kandungan kreatif, pembangun laman web dan multimedia, animasi dan kesan visual, permainan digital dan pemain profesional sukan elektronik (e-sukan).

“Tujuh pekerjaan kritikal pertama kali disenaraikan dalam Senarai Pekerjaan Kritikal (COL).

“Kebanyakannya dalam bidang digital yang mendapat permintaan tinggi semasa pandemik,” kata TalentCorp dalam laporan COL bagi 2020/2021.

COL diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia setiap tahun sejak 2015 bagi mengenal pasti pekerjaan dan ketakseimbangan kemahiran melangkaui 18 sektor di Malaysia. 

Ia adalah rujukan berasaskan bukti bagi pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dalam pasaran buruh negara.

Berdasarkan data COL 2020/2021, pengurus perkhidmatan perniagaan; jurutera elektrik; jurutera mekanikal; jurutera dan pembangun perisian; serta penasihat kewangan dan pelaburan juga mendapat permintaan tinggi semasa pandemik.

Semua pekerjaan ini menawarkan gaji antara RM2,500 hingga RM8,500.

Senarai Pekerjaan Kritikal yang dikeluarkan TalentCorp adalah rujukan berasaskan bukti bagi pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dalam pasaran buruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

Laporan turut menyenaraikan sembilan pekerjaan yang kurang mendapat permintaan iaitu juruwang, pramusaji, eksekutif perkhidmatan pelanggan, wakil khidmat pelanggan, pembantu akaun, pembantu penyelidik, pembantu jualan, pembantu peribadi dan setiausaha.

Menurut TalentCorp, tiga faktor mengapa sesuatu pekerjaan mendapat permintaan tinggi atau sebaliknya.

Pertama, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan kepesatannya disebabkan pandemik Covid-19.

“Kebanyakan syarikat amat bergantung kepada teknologi semasa pandemik, dan kini lebih menerima automasi dan digitalisasi.

“Oleh itu terdapat keperluan yang lebih besar terhadap pembangunan modal insan, latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat untuk kumpulan bakat (talent pool) dan graduan masa depan,” katanya. 

Lebih banyak syarikat mencalonkan kerjaya dalam bidang digital sebagai pekerjaan kritikal tahun ini, tambah TalentCorp. 

“Sebanyak 86% daripada pekerjaan baharu yang disenaraikan adalah berkait digital.”

Faktor kedua ialah hybrid role iaitu pekerja lebih daripada satu tugas.

Menurut TalentCorp, oleh kerana lebih banyak bergantung kepada platform digital maka syarikat mengkaji kaedah ini dengan tumpuan kepada kecekapan digital.

“Memandangkan pertumbuhan ekonomi perlahan sejak 2020, banyak firma terpaksa membeku pengambilan atau mengurangkan bilangan pekerja. Jadi syarikat memanfaatkan pekerja yang cekap dan mempunyai pelbagai kemahiran. 

“Akauntan dan jurutera misalnya diharapkan supaya tidak hanya cekap dalam bidang tugas mereka sahaja, tetapi juga mempunyai kemahiran yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan strategik syarikat.”

Ketiga adalah automasi, kata TalentCorp, yang memberi kesan kepada tugas dan kerja tertentu khususnya pekerjaan berkemahiran rendah.

“Bagi pekerja separuh mahir, automasi menyasarkan kerja-kerja yang mudah yang boleh digantikan oleh mesin.

“Contohnya, tugas pembantu penyelidik secara sebelum ini menumpu kepada mengekstrak dan menterjemah maklumat ke dalam format yang boleh dianalisis kini boleh diganti dengan peranti pintar,” katanya. – 24 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen