Lepasan SPM lebih tertarik ekonomi gig, tak minat sambung belajar


Noel Achariam

MUDAH mendapatkan pekerjaan dalam ekonomi gig selain peluang menjana pendapatan lumayan melalui perniagaan dalam talian antara faktor mengapa ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pelajaran mereka, kata pakar pendidikan.

Menurut pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad dua tarikan utama ini yang mendorong anak muda memilih untuk tidak meneruskan pengajian ke institut pengajian tinggi.

“Ditambah dengan perusahaan kecil dan sederhana yang kian berkembang dan memerlukan tenaga kerja, dengan sebahagiannya membayar gaji harian, sebab itulah mengapa anak muda lebih berminat untuk bekerja berbanding sambung belajar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sejak 2020 seramai 188,884 atau 51% daripada 365,553 pelajar bumiputera lepasan SPM menolak tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Berdasarkan jawapan KPT kepada Dewan Negara pada Jun lalu, seramai 36,910 lepasan SPM 2020 daripada bumiputera menolak tawaran ke IPTA dan jumlah itu meningkat kepada 78,543 pelajar (SPM 2021) dan 73,431 pelajar (SPM 2022).

Antara faktor yang mempengaruhi mereka bertindak sedemikian disebabkan masalah kewangan serta tidak mahu terikat dengan pinjaman pendidikan selain mahu bekerja kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar pada Julai lalu dilaporkan berkata, hampir keseluruhan pelajar bumiputera bukannya tidak minat ke IPTA, sebaliknya berpunca akibat masalah kewangan lebih-lebih bagi menyara kehidupan di kampus kelak.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja melibatkan belia di pendalaman, tetapi juga anak muda yang tinggal di bandar yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.

Meskipun terdapat dalam kalangan mereka menerima pinjaman pendidikan, namun masih belum cukup kerana duit diterima hanya cukup untuk melunaskan yuran pengajian, namun tidak memadai untuk menanggung sewa rumah dan kos lain, jelasnya seperti dilapor Utusan.

“Mereka masih lagi berdepan kekangan untuk membayar sewa dan keperluan harian seperti makan dan minum yang semakin tinggi khususnya kampus di kawasan bandar. Ada pelajar terpaksa ikat perut dengan masalah ini.

“Malah ada pemikiran mereka bahawa akademik tidak menjamin peluang pendapatan tinggi, lebih baik bekerja sebagai penghantar makanan berbanding jurutera yang menawarkan gaji rendah meskipun berhempas-pulas belajar selama empat tahun,” katanya.

Kerja sambilan, perniagaan dalam talian

Mengulas lanjut, Anuar berkata pekerjaan sambilan dalam sektor ekonomi gig dan perniagaan dalam talian kini berkembang dengan pesat.

“Lima belas tahun dulu lepasan SPM sambung belajar sampai tamat pengajian, kemudian cari kerja.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah trend baharu dalam sistem ekonomi dan gaya hidup anak muda,” katanya.

Jelasnya, kepesatan perniagaan dalam talian menjadikan lepasan SPM melihat ia sebagai peluang untuk mereka menjana pendapatan lumayan.

“Jadi bagi mereka kenapa perlu sambung belajar? Saya juga bersetuju sesiapa sahaja boleh buat duit kalau rajin berniaga dalam talian kerana peluang itu ada.” – 3 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen