PADA ulang tahun pertama pengilhakan Rusia ke atas empat wilayah Ukraine Kherson, Zaporizhzhya, Donetsk dan Luhansk, Presiden Rusia Vladimir Putin berikrar membina semula wilayah yang dilanda perang itu, lapor Agensi Berita Jerman. (dpa).
“Sekolah, hospital, bangunan kediaman dan jalan raya, muzium dan monumen akan diperbaiki dan dibina semula,” kata Putin dalam mesej video yang dikeluarkan oleh Kremlin semalam.
Beliau berkata semua wilayah Rusia akan menghulurkan bantuan tanda persaudaraan dalam usaha pembinaan semula.
Putin yang dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa dan menerima kecaman meluas di peringkat antarabangsa menandatangani perjanjian dengan pemimpin di empat wilayah itu pada 30 September 2022 untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Rusia.
Ukraine terus melawan dengan melancarkan serangan balas dan berharap untuk membebaskan wilayah berkenaan daripada pendudukan Rusia.
“Di hadapan kita terletak tugas besar dan cabaran yang sukar iaitu pelaksanaan program pembinaan semula yang hebat dan pembangunan sosioekonomi wilayah bersejarah kita.
“Dan kita sudah pasti akan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan,” kata Putin.
Presiden Rusia itu menyifatkan pengilhakan wilayah yang tidak diiktiraf oleh mana-mana negara lain di dunia itu sebagai “peristiwa bersejarah.”
Beliau berterima kasih kepada penduduk wilayah itu yang menjadikan Rusia lebih kuat.
“Kita adalah satu rakyat. Dan bersama-sama kita mengharungi segala-galanya, mencari jawapan kepada semua cabaran,” kata Putin.
Selepas lebih satu setengah tahun peperangan, Rusia masih belum dapat menguasai sepenuhnya mana-mana daripada empat wilayah itu.
Ukraine juga berjaya merampas semula sebahagian wilayah yang diduduki. – Bernama, 1 Oktober, 2023.
Komen