Zelensky umum pakatan tingkatkan industri senjata Ukraine


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata negara itu merancang untuk menghasilkan roket, dron dan peluru dengan kerjasama syarikat antarabangsa terkemuka. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2023.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky semalam mengumumkan penubuhan Perikatan Industri Pertahanan untuk meningkatkan pengeluar senjata di negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Zelensky yang menganjurkan forum untuk industri pertahanan antarabangsa di Kyiv itu berkata pembangunan industri pertahanan moden di Ukraine adalah keutamaan utama bagi negara.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk menjadikan Ukraine sebagai antara pengeluar senjata terbesar di dunia.

Ukraine memerangi pencerobohan Rusia sejak Februari 2022 dan sangat bergantung pada senjata yang dibekalkan oleh Barat serta berharap dapat meningkatkan pengeluaran peralatan pertahanan di negara itu.

Zelensky berkata dalam catatan di media sosial, negara itu merancang untuk menghasilkan roket, dron dan peluru dengan kerjasama syarikat antarabangsa terkemuka.

“Ukraine bersedia untuk menawarkan syarat khas kepada syarikat yang bersedia membangunkan pengeluaran pertahanan bersama negara kita termasuk dengan dana pertahanan khas sebagai tambahan kepada perbelanjaan pertahanan negara,” kata Zelensky.

Perikatan baharu itu akan berdasarkan deklarasi yang ditandatangani oleh 13 pengeluar senjata terkemuka dan mengalu-alukan lebih banyak pengeluar untuk menyertainya, kata Zelensky. – Bernama, 1 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen