Pakar jangka jerebu Sabah, Sarawak lebih teruk Disember-Mac


Desmond Davidson

Kebakaran hutan di Kalimantan masih melanda yang menyebabkan Malaysia menerima tempiasnya. – Gambar Facebook, 1 Oktober, 2023.

JEREBU rentas sempadan dialami Malaysia kini dijangka boleh menjadi lebih teruk pada Disember hingga Mac tahun depan di Sabah dan Sarawak meski hujan diramal pada awal monsun, kata pakar iklim.

Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Fredolin Tangang berkata tahap jerebu itu bergantung sama ada fenomena El Nino tersebut beralih ke kategori kuat atau tidak.

Katanya, El Nino iaitu fenomena iklim yang berlaku di Lautan Pasifik kini sedang aktif, mengukuh serta boleh berada dalam kategori sederhana dan kuat.

Bekas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata jika cuaca mengikut evolusi atau perkembangan biasa El Nino, Malaysia dan Indonesia akan terus mendapat tempias sehingga April atau Mei tahun hadapan.

Katanya, berdasarkan kajian pasukannya di UKM dari September hingga November tahun lepas, Sumatera dan Kalimantan akan mengalami keadaan kering anomali ketika El Nino melanda.

“Keadaan kering ini boleh mencetuskan kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.

“Keadaan jerebu boleh jadi lebih teruk jika ia berlaku ketika monsun barat daya kerana angin bertiup dari selatan itu membawa asap ke Malaysia,” katanya.

Di pertengahan bulan ini, Malaysia berada dalam tempoh peralihan monsun.

Kata Fredolin, kebiasannya cuaca dalam tempoh ini akan berlaku tiupan angin dari pelbagai arah.

“Biasanya kita ada ribut petir pada tengah hari dan petang terutama di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, jika angin bertiup dari selatan itu lemah- Sumatra dan Kalimantan, ia mungkin akan mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan.

“Namun, cuaca sukar diramal, corak angin masih boleh bertiup dari selatan walau kita sudah memasuki peralihan monsun dan asap itu masih boleh beri kesan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada rakyat Sabah dan Sarawak perlu bimbang dengan situasi jerebu yang melanda sekarang dengan kemungkinan ia bertabah teruk. – 1 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen