Mangsa banjir di Kedah menurun, 3 PPS masih beroperasi


Mangsa yang terjejas dipindahkan ke PPS. – Gambar Facebook, 30 September, 2023.

JUMLAH mangsa banjir di Kedah semakin menurun apabila hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Daerah Kota Setar yang menempatkan 437 orang daripada 147 keluarga, setakat 8 malam ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah  itu berkurangan berbanding 1,383 mangsa daripada 420 keluarga di 12 PPS yang dicatatkan 8 pagi tadi.

“Tiga PPS yang masih beroperasi di Kota Setar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang menempatkan seramai 277 mangsa daripada 95 keluarga, SK Seri Gunung (103 orang daripada 33 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah (57 mangsa daripada 19 keluarga).

Sebanyak sembilan PPS iaitu satu di Kubang Pasu, dua di Kota Setar, dua di Pokok Sena dan empat di Baling ditutup sepenuhnya petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Muhammad Suhaimi berkata keadaan cuaca yang semakin baik dan paras air yang surut di beberapa kawasan membolehkan mangsa pulang ke rumah masing-masing. – Bernama, 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen