MB Johor mohon PM pertimbang moratorium untuk mangsa banjir


MENTERI Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertimbang moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata ini bagi memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang kerugian harta benda dalam bencana itu.

“Besar harapan kerajaan negeri agar mangsa banjir boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh yang saya sebutkan.

“Bencana sebegini sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka. Ada yang kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, alatan elektrik dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Onn Hafiz berkata ada juga mangsa yang mengalami kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan.

Beliau berkata rakyat Johor terpaksa berdepan ujian bencana banjir yang amat mencabar bukan hanya sekali tetapi dua kali pada tahun ini sahaja.

Kali pertama Johor dilanda banjir ialah dari 24 Januari hingga 10 Februari lepas yang melibatkan lapan daerah dengan lebih 5,000 penduduk terjejas.

Negeri itu sekali lagi dilanda banjir pada 1 Mac lepas dan setakat 8 malam tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 40,129 orang masih berada di pusat pemindahan sementara. – Bernama, 6 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen