PORTUGAL pada Khamis mengumumkan penswastaan syarikat penerbangan milik kerajaan TAP Air Portugal, lapor agensi berita dpa.
Sekurang-kurangnya 51% pegangan daripada syarikat penerbangan terbesar negara itu harus dijual, kata Menteri Kewangan Fernando Medina selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Lisbon, lapor agensi berita negara Lusa.
Menteri itu berkata usaha mencari pelabur utama sedang dijalankan.
Syarikat penerbangan Eropah seperti Air France-KLM, Lufthansa dan International Airlines Group (IAG) berminat untuk memperoleh pegangan terbesar dalam TAP, lapor akhbar Público.
Syarikat penerbangan itu mempunyai rangkaian laluan trans-Atlantik yang luas ke Amerika Selatan.
Medina menegaskan bahawa penswastaan TAP tidak akan “semata-mata” diberikan kepada syarikat yang menawarkan wang paling banyak, tetapi kepada syarikat yang memberi perkhidmatan terbaik kepada negara dan ekonomi negara.
Kerajaan juga memaklumkan ia berhasrat untuk mengekalkan kepentingan strategik dalam syarikat penerbangan itu.
Ditubuhkan pada 1945, TAP mempunyai kira-kira 6,600 pekerja dan sekitar 100 pesawat.– Bernama, 29 September, 2023.
Komen