PORTUGAL pada Khamis menafikan laporan bahawa penyerang Cristiano Ronaldo mengancam untuk meninggalkan pasukan kebangsaan semasa Piala Dunia Fifa 2022 yang sedang berlangsung kerana diletakkan di bangku simpanan semasa perlawanan menentang Switzerland.
“Berita yang disiarkan pada Khamis mengatakan Cristiano Ronaldo mengancam untuk meninggalkan pasukan kebangsaan semasa perbualan dengan jurulatih kebangsaan Fernando Santos.
“FPF dengan ini menjelaskan bahawa kapten pasukan kebangsaan Cristiano Ronaldo tidak pernah mengancam untuk meninggalkan pasukan kebangsaan semasa latihan di Qatar,” menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), lapor Agensi Anadolu.
Portugal akan menentang Maghribi dalam pertembungan suku akhir Piala Dunia di Doha pada Sabtu.
Pasukan yang menang akan bertemu pemenang antara England dan Perancis di peringkat separuh akhir.
Jurulatih Fernando Santos meletakkan Ronaldo, 37, penyerang berpengalaman dan juara EURO 2016 di bangku simpanan ketika menentang Switzerland dalam pusingan 16 terakhir pada 6 Disember yang dimenangi pasukan Portugal 6-1.
Bintang itu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika Portugal mendahului 5-1.
Sepanjang aksinya di peringkat antarabangsa, Ronaldo telah menjaringkan 118 gol dalam 195 perlawanan.
Pada November, Ronaldo meninggalkan Manchester United selepas kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama susulan pertikaiannya dengan pengurus kelab Erik Ten Hag. – Bernama, 9 Disember, 2022.
Komen