Adun Cina lantikan bukan penyelesaian terbaik, kata pemimpin kaum di Terengganu


Diyana Ibrahim

PELANTIKAN wakil rakyat khas mewakili kaum Cina di Terengganu bukan penyelesaian terbaik, kata persatuan dan veteran politik komuniti tersebut, selepas dewan undangan negerinya hanya diwakili satu kaum.

Bekas pemimpin MCA Toh Chin Yaw berkata fungsi dan peranan Adun lantikan itu terhad dan tidak membawa makna yang besar buat masyarakat Cina di negeri itu.

Toh memberitahu The Malaysian Insight, beliau percaya ia hanya akan menguntungkan individu tertentu sahaja dan tidak mewakili suara keseluruhan kaum Cina.

“Mungkinlah ada sedikit peranan tapi bagi saya ia berbeza dari segi kuasa yang kita tahu terhad tak sama macam Adun yang betul-betul melalui pilihan raya dan mendapat mandat daripada rakyat.

“Kemudian kita tidak tahu lantikan itu siapa dia, sokongan dia macam mana, pengaruh dia setakat mana.

“Tapi bagi individu berpihak pada politik mereka memang mengharapkan lantikan itu,” katanya.

Beliau berkata masyarakat Cina memerlukan wakil rakyat yang dilantik dan diberi mandat daripada mereka sendiri melalui pilihan raya.

Namun ia tidak berlaku sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri yang menyaksikan tidak ada seorang wakil dari masyarakat Cina bertanding dalam kerusi negeri itu.

PN menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen dalam PRU15 dan juga dalam PRN pada bulan lalu, termasuk di Kuala Terengganu yang mempunyai jumlah pengundi Cina paling ramai.

Jumlah pengundi berdaftar kaum Cina hanya lebih kurang 3% daripada keseluruhan pengundi di negeri itu.

Justeru, sangat penting untuk mewujudkan sistem representasi melibatkan semua kaum di negara ini, katanya lagi.

“Maksudnya semua kaum ada kuota yang diberikan oleh parti. Sistem representasi untuk semua kaum terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berdaftar kaum Cina hanya lebih kurang 3% daripada keseluruhan pengundi di Terengganu.

Presiden Persatuan Buddhist Terengganu, Toh Martin pula memberitahu The Malaysian Insight, beliau mendengar cadangan melantik Adun khas itu sejak tahun lalu.

Terengganu merancang melaksanakan pelantikan itu mengikut peruntukan di bawah Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membuat pelantikan khas Adun.

Pelantikan Adun Khas ini dibuat bagi mewakili daripada kelompok masyarakat tertentu seperti pelantikan seorang Adun khas wanita selepas PRU14.

Martin berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu dan menggesa ia dilaksanakan segera untuk menjernihkan hubungan kerajaan dengan minoriti bukan Islam.

“Masyarakat Cina di negeri ini ada mempunyai persepsi yang kerajaan negeri tidak mesra kepada golongan bukan Islam.

“Jadi bagi saya kalau kerajaan PN-PAS ingin memperbaiki persepsi itu mereka perlu buat lantikan Adun khas, supaya boleh mendekatkan jarak antara kerajaan negeri dan komuniti bukan Islam.”

Jelasnya, persepsi itu timbul ekoran dasar dan polisi yang dianggap dilihat tidak mesra kepada golongan bukan Islam.

Chin Yaw pula menjelaskan persepsi itu timbul ekoran pelaksanaan polisi dan dasar yang tidak memihak kepada mereka.

Beliau memberi contoh pelaksanaan arahan penutupan premis perniagaan dan operasi kedai makan dalam tempoh dua jam pada waktu sembahyang Jumaat di Terengganu.

“Pasar raya yang tutup dua jam ini, jadi orang yang nak beli keperluan ini kena tunggu. Walau kata bukan muslim tidak terlibat tapi semua kedai tutup sebab itu polisi kerajaan negeri.

“Jadi ia menyusahkan rakyat tapi rakyat kena terima, bukan sebab kita terima itu maksudnya kita OK tapi sebab terpaksa.

“Mereka selalu beri alasan, polisi hanya melibatkan kaum Melayu Islam, kaum lain tidak terlibat, tapi realitinya adakah begitu. Adakah pelaksanaannya adil dan tidak diskriminasi,” katanya.

Selain itu, sentimen Melayu-Islam yang dimainkan PAS secara melampau semasa kempen pilihan raya lalu menyebabkan masyarakat bukan Melayu di Terengganu berasa kurang senang.

Mengulas lanjut, Chin Yaw berkata sebab itulah sebab itulah kerajaan negeri termasuk Exco, Adun dan ahli majlis perlu bekerja lebih giat lagi untuk mendekati semua golongan kaum di negeri itu.

Katanya biarpun memahami objektif pentadbiran PN sebagai negeri Islam namun mereka juga perlu adil mengenai hak bukan Islam yang tinggal di negeri itu.

“Kita faham objektif mereka tapi perlu adil lah. Ada polisi dan dasar itu yang dibuat itu tidak patut terpakai kepada orang bukan Islam.

“Sebab negara kita didiami pelbagai kaum dan bangsa jadi ada isu yang perlu ditangani dengan berhati-hati.

“Kalau ada perpaduan itu barulah negara kita maju, aman. Jadi isu melibatkan kaum perlu ditangani secara matang dan polisi kena terbuka,” katanya.

Sementara itu setiausaha Dewan Perniagaan Cina Terengganu  Foo Eee Lin berkata persatuan memang berharap kerajaan negeri akan dapat membuat pelantikan Adun khas mewakili komuniti tersebut.

Beliau berkata jika betul ada pelantikan tersebut susah tentu akan lagi membantu dalam mengangkat isu berkaitan masyarakat Cina.

“Kita memang berharap pun ada pelantikan Adun khas. Macam sekarang menteri besar memang ada dua pegawai bukan Islamnya.

“Tapi kalau ada Adun khas ia lagi bagus,” katanya.

Ditanya tentang pandangan mengenai kerajaan negeri, jawabnya pendirian persatuan adalah menolak hal berkaitan politik dan hanya mengutamakan  pembangunan negeri dan masyarakat Cina.

Katanya, pertemuan antara menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar juga diadakan pada awal September lepas bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pertemuan itu, persatuan turut menghantar memorandum tuntutan 10 perkara kepada menteri besar.

“Kita yakin akan dapat melihat perkembangan yang sangat baik untuk Terengganu tidak lama lagi.

“Sebab bagi kami tidak kira pihak mana kerajaan kita akan sokong kerana kita nak bergerak ke depan. Kalau kita tidak sokong macam mana kita nak maju,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata persatuan juga ada menyatakan harapan kepada menteri besar untuk melihat kerajaan negeri lebih terbuka dalam dasar atau polisi pelaburan luar.

“Kita memang mengharapkan yang selepas ini kerajaan negeri akan lebih terbuka kepada pelabur.

“Ini termasuk pelaksanaan polisi yang kita harap tidak terlalu menyusahkan pelabur dan untuk memajukan industri dan perniagaan di negeri ini,” katanya.– 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen