Putrajaya perlu cari punca guru bersara awal, kata kumpulan


Angie Tan

Statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan bilangan guru yang memilih bersara awal meningkat sejak tiga tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2023.

PUTRAJAYA akan berdepan krisis jika tidak menangani masalah peningkatan guru bersara awal, kata Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Amaran itu dibuat selepas statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan bilangan guru yang memilih bersara awal meningkat sejak tiga tahun lalu.

Presiden Jiao Zong, Cheah Lek Aee berkata keadaan masih belum kritikal tetapi angka itu membimbangkan.

“Pada 2020, 4,212 guru memilih untuk bersara awal. Pada 2021 terdapat 4,389 guru dan tahun lepas, ia meningkat kepada 5,306.

“Guru memilih untuk bersara awal menyebabkan kekurangan tenaga pengajar di negara ini,” katanya.

Cheah berkata data 2022 KPM menunjukkan terdapat kira-kira 230,000 guru sekolah rendah dengan kira-kira 23,000 berusia 55 tahun ke atas.

“Itu adalah 10% daripada jumlah keseluruhan dan 10% ini akan bersara dalam tempoh lima tahun akan datang. Ada yang mungkin tidak menunggu sehingga mereka berusia 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan bagi guru untuk bersara apabila mereka mencapai usia 50 tahun kerana tidak berpuas hati dengan kerja.

“Guru kanan ini dibebani dengan tugas bukan mengajar menyebabkan mereka menghabiskan banyak masa untuk kerja pentadbiran.

“Perubahan yang kerap dan penyimpangan dasar menyebabkan ramai (guru) juga keliru,” katanya.

Cheah berkata pejabat pendidikan daerah dan negeri juga membuat banyak permintaan yang tidak munasabah terhadap guru.

“Tuntutan daripada pejabat pendidikan daerah dan negeri memberi beban dan tekanan yang berat kepada pengetua sekolah, naib pengetua dan guru.

“Ia membuatkan mereka letih dan menggalakkan lagi keinginan untuk bersara awal. Guru harus memberi tumpuan kepada apa yang dilatih untuk mereka lakukan iaitu mengajar.

“Sesetengah pejabat pendidikan sengaja memindahkan guru pada pertengahan tahun persekolahan,” katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur pada bulan ini memindahkan beberapa guru yang berkhidmat lebih 20 tahun di sebuah sekolah ke sekolah lain.

“Perpindahan ini mengganggu urusan pentadbiran dan pengajaran di sekolah mereka sebelum ini yang seterusnya menjejaskan pembelajaran pelajar dan operasi sekolah,” katanya.

Cheah berkata isu sebegitu dibangkitkan dengan KPM berkali-kali tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan.

“Ia adalah isu yang sudah lama berlarutan dan badan-badan yang mewakili guru dan profesion perguruan membangkitkannya dengan KPM berulang kali.

“Mereka juga memberi cadangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Cheah berkata KPM perlu menyemak semula dasar pentadbirannya terutamanya yang menimbulkan kemarahan.

Beliau berkata terdapat banyak dasar tidak praktikal yang dilaksanakan tanpa mengambil kira kebolehlaksanaan.

“Satu-satunya impak yang wujud adalah menyebabkan guru tidak berpuas hati,” katanya. – 28 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen