Najib gagal batal injunksi Mareva 1MDB


Bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal membatalkan perintah injunksi Mareva kedua yang dimohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan keputusannya untuk membekukan perintah Mareva AS$681 juta (RM3.2 bilion) terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan selepas menolak permohonan Najib untuk membatalkan perintah injunksi Mareva yang dimohon oleh dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Arahan itu sebelum ini diperoleh 1MDB sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah AS$8 bilion dana itu terhadapnya.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan injuksi itu harus dikekalkan sehingga saman 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu selesai.

Bagaimanapun hakim membenarkan Najib mengeluarkan RM100,000 setiap bulan untuk perbelanjaan sara hidup dan yuran guaman.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan SRC International.

Pada Mei tahun lalu 1MDB memfailkan jumlah gabungan 22 saman sivil terhadap pelbagai pihak termasuk Najib untuk mendapatkan semula aset RM96.6 bilion.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kewangan berkata enam daripada 22 writ itu difailkan oleh 1MDB manakala baki 16 lagi adalah oleh bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Saman sivil itu difailkan sebagai usaha kedua-dua entiti untuk mendapatkan semula aset mereka dengan jumlah gabungan melebihi RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta terhadap pelbagai pihak tempatan.

Writ yang difailkan oleh 1MDB adalah terhadap sejumlah sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing, dan 25 individu. – 27 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen