Ahli Parlimen terbuka bincang cadangan faedah persaraan


Angie Tan

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata cadangan menghapuskan faedah persaraan harus dilihat secara holistik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2023.

AHLI Parlimen menyambut baik cadangan untuk menghapuskan faedah persaraan mereka tetapi tidak mahu sebarang keputusan dibuat dengan tergesa-gesa.

Memberi maklum balas terhadap cadangan bekas ketua pengarah institut penyelidikan perbendaharaan Mohamad Abdullah Kari, ahli Parlimen berkata mereka terbuka kepada perbincangan untuk pelan alternatif.

Mohamad Abdullah dalam cadangannya minggu lalu berkata ahli Parlimen dan menteri kabinet perlu dikeluarkan daripada skim pencen dan didaftarkan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mohamad Abdullah yang juga ahli ekonomi berkata beberapa ahli Parlimen hanya berkhidmat selama lima tahun namun menikmati faedah persaraan sepanjang hayat yang disifatkannya sebagai tidak adil.

“Cadangan itu harus dilihat secara holistik,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung kepada The Malaysian Insight.

Ahli parlimen PKR itu berkata faedah persaraan itu adalah untuk mengelakkan ahli Parlimen terjejas dari segi kewangan selepas tidak berkhidmat jadi sebarang langkah untuk mengeluarkan mereka daripada skim harus dibincangkan dari perspektif yang komprehensif.

Lee berkata jika isu itu dibangkitkan dari sudut ekonomi, ahli Parlimen dan menteri tidak akan menjejaskan kewangan negara.

“Penjawat awam membentuk bahagian yang lebih besar,” tambahnya.

Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing juga bersetuju faedah persaraan ahli Parlimen dan menteri boleh diabaikan.

“Sejujurnya ia tidak mengambil kira sebahagian besar perbelanjaan (kerajaan),” katanya.

Tan berkata untuk benar-benar menjimatkan kos tumpuan perlu diberikan kepada perbelanjaan pentadbiran.

“Meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan kos pentadbiran yang tidak perlu, pertindihan bidang kuasa antara jabatan akan membawa peningkatan ketara dalam penjimatan kos,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun juga berpendapat perlu ada perbincangan untuk mendapatkan alternatif yang lebih baik.

Beliau menegaskan beberapa ahli Parlimen seperti mereka di Kuala Lumpur perlu mengeluarkan wang sendiri untuk beberapa perbelanjaan.

“Kami ahli Parlimen mesti berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hat  dan kadang-kadang apabila kami kekurangan tenaga kerja kami terpaksa menggunakan wang sendiri.

“Kami tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri atau majlis tempatan,” katanya.

Faedah lebih tinggi

Seorang ahli Parlimen yang menyokong idea itu ialah presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi media sosialnya Syed Saddiq menyatakan beliau menyokong penuh cadangan itu dan semua ahli politik termasuk dirinya tidak seharusnya menikmati faedah persaraan.

Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata faedah persaraan ahli politik hari ini adalah beberapa kali ganda lebih tinggi daripada penjawat awam yang berkhidmat untuk negara selama beberapa dekad.

Beliau mengkritik fakta ahli politik boleh menerima faedah persaraan serta-merta selepas dipilih.

“Tambahan pula terdapat tahap yang berbeza untuk menteri, ahli Parlimen,dan Adun, jadi kita harus mempertimbangkan untuk memasukkan ahli politik dalam KWSP sama seperti orang lain,” katanya. – 27 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen