‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ tak pernah diguna dalam angkat sumpah wakil rakyat, kata Wan Junaidi


Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata apabila Perlembagaan Persekutuan kalimah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ hanya disebut dalam penyataan angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong dan timbalan Yang di-Pertuan Agong. – Gambar Facebook, 23 September, 2023.

KALIMAH ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ tidak pernah digunakan dalam peruntukan angkat sumpah Ahli Parlimen seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di bawah Artikel 59(1) Perlembagaan Persekutuan, sejak ia digubal pada 31 Ogos 1957.

Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata apabila Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan pada tarikh berkenaan, penyataan Sumpah Ahli Parlimen telah ada dalam Jadual Keenam di bawah perkara tersebut dan tidak pernah ada menyebut kalimah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”.

“Kalimah penyataan sumpah kalimah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ hanya disebut dalam penyataan angkat sumpah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat.

“Seperti yang dijawab oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, penyataan sumpah ini adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 5 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa sumpah yang dilafazkan hendaklah mengikut seperti yang disebutkan dalam Jadual Keenam dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berharap dengan penjelasan itu ia dapat memberikan maklumat yang jelas kepada Ahli Parlimen serta orang awam yang telah menyaksikan pertikaian berhubung perkara berkenaan semasa Ahli Parlimen Kulai Suhaizan Kaiat mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat Selasa lepas.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang memohon penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul sama ada lafaz sumpah ahli Parlimen baharu tidak lagi memasukkan kalimah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’. – Bernama, 23 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen