Bolehkah kita membina kesejahteraan kesihatan yang lebih baik?


KESIHATAN bukan sekadar perkataan popular, ia merupakan asas kehidupan yang penting untuk masyarakat terus berkembang maju. Satu idea menarik yang semakin mendapat perhatian ialah penggunaan cukai sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesihatan masyarakat. Perkara ini kompleks, tetapi berbaloi untuk diperdebatkan, terutama apabila kita melihat statistik kesihatan di Malaysia.

Berdasarkan data, kira-kira 21% orang dewasa di Malaysia adalah perokok dan 5% pengguna rokok elektronik. Tambahan lagi, ramai yang mengalami masalah pergigian seperti karies dan masalah gusi.

Statistik ini bukan sekadar angka; ia menunjukkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Di sebalik statistik ini ada individu, ahli keluarga, jiran, rakan, atau mungkin anda sendiri, yang menghadapi masalah kesihatan yang sebenarnya boleh dicegah.

Rawatan pergigian adalah contoh yang jelas. Klinik pergigian swasta menawarkan perkhidmatan berkualiti tetapi dengan caj rawatan yang tinggi. Sedangkan klinik kerajaan menawarkan perkhidmatan yang lebih berpatutan, namun sering kali menghadapi kesesakan pesakit. Tambahan pula, rawatan pergigian jarang sekali dilindungi oleh pakej insurans, yang membebankan bagi sebahagian besar individu.

Adalah penting untuk menyedari bahawa tingkah laku sukar untuk diubah. Kempen anti-rokok dan kesedaran pemakanan sihat telah membawa perubahan, tetapi daya tarikan minuman bergula, makanan cepat saji, dan tembakau masih memikat ramai. Ini memperkuatkan hujah untuk menggunakan inisiatif kewangan seperti cukai sebagai intervensi kesihatan awam.

Bayangkan cukai pada barangan seperti tembakau dan minuman bergula ini mempunyai dua fungsi utama: pertama, sebagai pendorong untuk memilih produk yang lebih sihat, dan kedua, pendapatan yang dijana dapat diperuntukkan untuk inisiatif kesihatan awam. Ini suatu pendekatan yang belum dilaksanakan di Malaysia.

Namun, bayangkan jika sebahagian daripada pendapatan cukai ini diperuntukkan khusus untuk mengurangkan beban klinik pergigian kerajaan? Bayangkan masa menunggu yang lebih pendek dan kemudahan yang lebih lengkap.

Apabila berhadapan dengan pembelian yang diketahui mempunyai risiko kesihatan, pengguna perlu berfikir dua kali. Namun, jika seseorang memilih untuk membelinya, perbelanjaan tambahan tersebut akan memberi sumbangan kepada keseluruhan masyarakat.

Idea di sini bukanlah untuk membenarkan pilihan tidak sihat, tetapi lebih kepada mencegah pembelian melalui harga yang lebih tinggi. Namun, jika ada pembelian, duit tersebut boleh menjadi sebahagian dari penyelesaian yang lebih besar.

Mencipta Malaysia yang lebih sihat memerlukan kerjasama dari semua pihak. Cukai seperti ini bukanlah penyelesaian mutlak, tetapi ia boleh menjadi salah satu daripada banyak strategi dalam pendekatan kesihatan awam yang komprehensif.

Soalan pada tajuk bukanlah retorik semata-mata; ia satu jemputan untuk kita semua mempertimbangkan cara praktikal kita boleh melabur untuk masa depan yang lebih sihat.

Bukankah kita sebenarnya ‘membina’ masa depan yang lebih cerah dan sihat untuk semua rakyat Malaysia? Bukankah itu sesuatu yang boleh kita semua sokong? – 26 September, 2023.


* Dr Ainol Haniza Kherul Anuwar, Pensyarah Jabatan Kesihatan Pergigian Masyarakat & Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen