Sistem CLPR ganti PRK untuk jamin kestabilan politik?


G Manimaran

SATU lagi musim pilihan raya kecil (PRN) berlangsung, kali ini melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, hampir dua minggu selepas PRK Pulai dan Simpang Jeram. Ketiga-tiga PRK susulan pemergian wakil rakyat, menyebabkan kekosongan mengejut.

Semasa sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dilaporkan telah mengarahkan semua ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan.

Berdasarkan kenyataan beliau, arahan itu susulan saranan yang dibuat kepada Kementerian Kesihatan supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat terhadap semua ahli Parlimen demi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

Johari berkata beliau sendiri telah menyaksikan kira-kira 11 Ahli Parlimen telah tumbang sepanjang tempoh 15 tahun. Maka, beliau meminta wakil rakyat supaya mengambil serius isu kesihatan mereka.

Langkah pemeriksaan kesihatan bukan sahaja perlu untuk anggota dewan perundangan, tetapi baik untuk setiap orang demi memastikan kecergasan masing-masing.

Kita boleh mengambil apa yang disebutkan oleh speaker sebagai saranan, nasihat ataupun arahan. Malah, perkara ini bukan baharu. Ia telah banyak kali dibangkitkan, terutama apabila adanya wakil rakyat, terutama yang baharu dipilih, meninggal dunia dalam waktu yang singkat selepas pilihan raya, sekali gus membawa kepada pilihan raya kecil (PRK).

Di sebalik perkembangan itu, terdapat cadangan supaya PRK tidak diadakan. Sebaliknya kerusi terbabit dikekalkan oleh parti yang pernah menang. Alasan yang diberikan mudah – ia boleh menjimatkan kos untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Kos PRK berbeza-beza mengikut keluasan sesebuah kerusi dan sama ia membabitkan kerusi Parlimen ataupun DUN. Selain itu, kos mengadakan PRK juga bergantung kepada jumlah pengundi.

Saranan agar tidak mengadakan PRK bertentangan dengan semangat sistem pilihan raya demokrasi? Sudah pasti. Ia seolah-olah kita merampas hak pemilih dan juga hak untuk bertanding dalam pilihan raya. Ataupun kita perlu meminda undang-undang bagi memberi ruang kepada ketidakperluan mengadakan PRK, dan pada masa yang sama menghargai amalan demokrasi terutama dalam memberi ruang kepada rakyat memilih pengganti.

Tiga dekad lalu pindaan telah dibuat bagi membolehkan tidak ada PRK dalam tempoh dua tahun mandat berakhir. Bermakna di bawah amalan semasa PRK hanya boleh dan perlu diadakan dalam tiga tahun pertama selepas mandat mula dilaksanakan atau berkuat kuasa. Perkara ini juga berlawanan dengan semangat demokrasi.  

Mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu diadakan untuk mengisi kekosongan luar jangka dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengisytiharan kekosongan. Walau bagaimanapun, sekiranya kekosongan luar jangka berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar, maka PRK tidak perlu diadakan.

Sekiranya kekosongan tersebut akan menjejaskan sokongan majoriti yang dimiliki oleh mana-mana parti atau gabungan politik di Dewan Rakyat, Speaker Dewan Rakyat perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pilihan raya kecil boleh diadakan. Perkara yang sama diperuntukkan di peringkat negeri.

Dalam menjaga nilai amalan demokrasi, kita ada pilihan untuk dipertimbangkan untuk mengelakkan pembaziran sumber masa dan kewangan. Kita boleh memikirkan untuk memperkenalkan sistem pilihan raya Closed List Proportional Representation (CLPR), yang diamalkan di beberapa negara pada masa sekarang. CLPR merupakan salah satu daripada lebih 10 sistem pilihan raya yang diguna pakai di dunia pada hari ini.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), tiga tahun lalu, ada menyenaraikan CLPR sebagai salah satu syor dalam menambah baik sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia.

ERC telah mengkaji beberapa sistem pilihan raya yang dianggap berpotensi untuk memberikan keadilan dalam perwakilan, mudah dari segi proses pemilihan dan dapat meningkatkan kualiti dalam penyertaan demokratik.

Kita tahu bahawa secara dasarnya tiada satu pun sistem yang sempurna dan dapat memberikan kepuasan secara total. Namun berdasarkan maklum balas yang diterima hasil sesi libat urus yang telah diadakan, ERC berpandangan perlu ada sistem yang lebih adil dan menyeluruh diperkenalkan.

Hampir semua negara menggunakan sistem yang bersesuaian dengan tahap atau kategori pemilihan perwakilan. Keperluan setiap Dewan Perwakilan adalah berbeza dan oleh itu sistem yang digunakan perlulah sesuai dengan keperluan dan kehendak Dewan Perwakilan. Sebagai contoh, perwakilan di peringkat kerajaan tempatan dan negeri adalah berbeza dengan dewan perundangan nasional atau persekutuan, kata ERC.

Sejak negara merdeka, kita menggunakan sistem berdasarkan prinsip First Past The Post (FPTP). Sistem yang diwarisi daripada British.

Di United Kingdom misalnya, pemilihan perwakilan ke Parlimen negara itu dibuat menggunakan sistem FPTP sedangkan wakil untuk kerajaan tempatan dipilih menggunakan sistem perwakilan berkadar (PR). ERC berpandangan bahawa sistem CLPR adalah sesuai diperkenalkan bagi memilih wakil ke Dewan Rakyat. Melalui kaedah ini, diyakini kualiti perbincangan dan penggubalan undang-undang di peringkat nasional dapat dipertingkatkan.

Sistem CLPR merupakan sistem perwakilan secara perkadaran. Jumlah kerusi yang dimenangi dalam Dewan Rakyat akan ditentukan berdasarkan undi keseluruhan yang diperoleh oleh setiap parti politik. CLPR diyakini boleh mengatasi isu tidak perlu ada PRK sekiranya wujud kekosongan mengejut, sebagaimana disarankan oleh beberapa pihak kebelakangan ini. Di bawah CLPR, kerusi yang disandang akan kekal dikuasai oleh parti yang menang, dan pada masa yang sama akan membolehkan kestabilan politik sepanjang mandat masih berkuatkuasa.

Mengambil kira situasi semasa di negara kita, dengan munculnya siri kenyataan kononnya ada angka untuk menjatuhkan kerajaan dan kerajaan pusat akan tumbang pada bila-bila masa, yang secara langsung menjejaskan keyakinan dalam kalangan pelbagai pemegang taruh termasuk para pelabur, sudah sampai masanya negara melihat kepada keperluan memperkenalkan CLPR. Meskipun ERC hanya mengesyorkan CLPR di peringkat pusat, sistem yang disyorkan itu boleh dipertimbangkan untuk diperkenalkan di peringkat kerajaan negeri.

Lagipun, peratusan undi atau undi popular yang diperoleh akan menentukan kekuatan dan kewibawaan parti atau gabungan yang bertanding dan mandat rakyat akan lebih bernilai dan berharga. – 25 September, 2023.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen