Hajiji yakin kerjasama GRS, PH Sabah cetus kejayaan


Keyakinan itu berdasarkan penerimaan rakyat yang meningkat terhadap Gagasan Rakyat yang merupakan parti komponen GRS, kata Ketua Menteri Hajiji Noor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2023.

PARTI Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kerjasama baik dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) negeri mampu membawa kejayaan kepada gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, keyakinan itu juga berdasarkan penerimaan rakyat yang meningkat terhadap Gagasan Rakyat yang merupakan parti komponen GRS.

“Kerana itu saya minta pemimpin Gagasan Rakyat di setiap bahagian supaya menyusun jentera parti dengan baik dan memastikan parti kuat sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya yakin dengan sambutan dan kejayaan kita menubuhkan ribuan cawangan dan bahagian di seluruh Sabah, ditambah kerjasama dengan rakan dalam GRS dan juga PH, insya-Allah kita akan berjaya dalam PRN akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut dan perasmian mesyuarat tahunan 2023 bahagian itu di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod hari ini.

Hajiji berkata walaupun Gagasan Rakyat menerima sokongan baik daripada rakyat di negeri itu, parti itu masih memerlukan kerjasama rakan lain untuk mentadbir dan memajukan Sabah.

Sementara itu, beliau berkata keahlian Gagasan Rakyat, yang kini mencecah 300,000 orang di semua 73 bahagian, menunjukkan penerimaan baik rakyat di negeri itu.

Hajiji turut menjelaskan Gagasan Rakyat ditubuhkan akibat ketidaktentuan atau ketidakstabilan politik negara dan di Sabah sejak beberapa tahun lalu dan ditubuhkan kerana memenuhi aspirasi masyarakat tempatan Sabah.

“Mereka mahu kita berjuang dalam parti tempatan seperti di Sarawak yang mengutamakan parti tempatan mereka. Tapi ini tidak bererti kita tidak mahu bekerjasama dengan parti nasional,” katanya.

Selain Gagasan Rakyat, GRS turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP). – Bernama, 23 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen