SATU-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Shahelmey Yahya yang menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Negeri Sabah ketika ini menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk membuat keputusan berhubung tindakannya itu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Ahli Parlimen Putatan itu menyatakan kesediaannya berdepan sebarang tindakan dan tidak mahu mendahului Lembaga Disiplin Umno.
“Saya seorang daripada Adun Umno Sabah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang dinyatakan. Selesai sudah menyatakan pembelaan saya.
“Kita serah kepada Lembaga Disiplin Umno untuk membuat keputusan. Jadi kita tunggu,” katanya yang merupakan Adun Tanjung Keramat kepada pemberita selepas Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat Daerah Putatan hari ini.
Selain Shahelmy, empat lagi Adun Sabah yang berpendirian sama turut dipanggil Lembaga Disiplin Umno iaitu Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin).
Bagaimanapun Jasnih, James, Mohd Arshad dan Yusof bersama seorang lagi Adun Umno iaitu Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Selasa lepas.
Pada 6 Januari lalu, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata parti itu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Ditanya tentang tindakan Adun terbabit yang meninggalkan Umno, Shahelmy berkata itu adalah hak mereka namun beliau menganggap keputusan tersebut dibuat bagi mengukuhkan kestabilan politik di Sabah.
“Politik yang stabil penting agar pentadbiran dan agenda pembangunan negeri seperti Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dijayakan,” katanya. – Bernama, 25 Februari, 2023.
Komen