Lebih 2,000 orang awam dipindahkan dari kawasan bahaya Nagorno-Karabakh 


Kontinjen pengaman Rusia terus memindahkan penduduk awam Nagorno-Karabakh dari kawasan paling berbahaya. – Gambar EPA, 20 September, 2023.

PASUKAN pengaman Rusia terus memindahkan orang awam Nagorno-Karabakh dari kawasan paling berbahaya berikutan apa yang disifatkan Azerbaijan sebagai “aktiviti anti-pengganas” tenteranya, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu, sambil menambah bahawa lebih 2,000 telah dipindahkan.

“Kontinjen pengaman Rusia terus memindahkan penduduk awam Nagorno-Karabakh dari kawasan paling berbahaya dan memberikan bantuan perubatan kepada mangsa. 

“Secara keseluruhan, lebih 2,000 orang awam telah dipindahkan, termasuk 1,049 kanak-kanak. Semua penduduk yang dipindahkan disediakan tempat untuk penginapan sementara dan makanan panas,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, lapor Sputnik.

Pasukan pengaman Rusia terus melaksanakan tugas mereka di Nagorno-Karabakh, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa mereka memantau keadaan di 30 pos pemerhatian sepanjang masa.

“Sejak 12:00 pada 19 September 2023, kontinjen pengaman Rusia telah merekodkan banyak fakta pelanggaran gencatan senjata di pihak Azerbaijan,” tambah kenyataan itu. – Bernama, 20 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen