PRESIDEN Azerbaijan Ilham Aliyev menerusi perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Selasa bahawa peletakan senjata oleh tentera Armenia adalah syarat untuk menamatkan operasi anti-pengganas Baku di wilayah Nagorno-Karabakh, lapor Sputnik.
Terdahulu pada Selasa, Jabatan Negara AS menjelaskan bahawa Blinken mengadakan perbualan telefon dengan Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan untuk membincangkan situasi terkini di Nagorno-Karabakh.
“Aliyev berkata bahawa pentadbiran presiden telah berulang kali menjemput wakil penduduk Armenia yang tinggal di wilayah Nagorno-Karabakh untuk berdialog, tetapi mereka menolak. Aliyev berkata bahawa langkah anti-pengganas akan berakhir jika senjata diletakkan, dan tentera Armenia melakukan gencatan senjata,” menurut pejabat presiden Azerbaijan dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.
Pejabat itu menambah bahawa presiden Azerbaijan memberitahu Blinken bahawa Baku perlu melancarkan operasi di rantau itu untuk menghalang provokasi baharu Armenia di Nagorno-Karabakh.
Beliau menekankan bahawa hanya “sasaran tentera yang sah” menjadi sasaran dalam operasi itu, sambil menambah bahawa orang awam dan infrastruktur tidak dibedil.
Blinken, bagi pihaknya, menyatakan kebimbangan mengenai situasi di rantau itu, menggesa gencatan senjata, dan memberitahu presiden Azerbaijan bahawa Amerika Syarikat menyokong rundingan langsung antara Baku dan Armenia. – Bernama, 20 September, 2023.
Komen