KONFLIK Azerbaijan dan Armenia mengenai wilayah Nagorno-Karabakh kini semakin hampir menemui titik penyelesaian, menurut Washington pada Khamis.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata kedua-dua pihak “mencapai kemajuan ketara dalam menangani isu sukar berkenaan” ketika rundingan damai berlangsung minggu ini hasil pertemuan Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov dan Menteri Luar Armenia Ararat Mirzoyan di Arlington, Virginia.
“Kedua-duanya menunjukkan komitmen bagi memulihkan hubungan dan menamatkan konflik yang berlarutan antara kedua-dua negara,” kata Blinken dalam satu kenyataan.
Blinken seterusnya berkata kedua-dua negara “secara prinsipnya bersetuju dengan syarat-syarat tertentu dan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang pendirian antara satu sama lain dalam isu-isu berbangkit”, lapor dpa.
Beliau mengesyorkan agar kedua-dua diplomat itu kembali ke ibu negara masing-masing untuk menyampaikan berita bahawa “perjanjian boleh dicapai”.
Konflik antara Azerbaijan dan Armenia kembali memuncak tahun lalu, dan dianggarkan lebih 6,500 orang terbunuh dalam pertempuran pada 2020. – Bernama, 5 Mei, 2023.
Komen