Cuitan PM membenam pembangkang di Parlimen


Fakhrurrazi Rashid

Apabila ahli Parlimen PN keluar Dewan Rakyat, ia memberi ruang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi penjelasan mudah dan tenteram berkenaan kes DNAA Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2023.

SERING kali kita dengar ayat “politik itu satu seni” atau lebih tepat kata-kata Otto Von Bismarck, “Politics is the art of the possible, the attainable — the art of the next best”.

Ungkapan ini secara asasnya bermaksud politik itu satu perkara yang penuh dengan kehalusan sehingga perkara yang tidak terfikir dek akal mampu dicapai jika seni politiknya itu benar-benar bijak.

Tidaklah saya di sini ingin mengulas tentang falsafah dan kerangka pemikiran Bismarck. Cuma, pertengkaran yang berlaku di Dewan Rakyat semalam, yang dimulakan Ahli Parlimen Putrajaya Dr Radzi Jidin sewaktu penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), menunjukkan kepintaran seni berpolitik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mengatasi tekanan pihak pembangkang di Parlimen.

Cuitan Anwar yang didakwa hanya menyindir ahli Parlimen Putrajaya dan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan lepas tanpa bebas (DNAA) terhadap kes pemimpin Umno sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.

Tidak disangka-sangka, seorang ahli Parlimen yang berpengalaman menjadi tenaga pengajar di institusi pendidikan di luar negara, pernah menjadi menteri, timbalan menteri, dan senator, tersentak penuh emosi dengan cuitan perdana menteri.

Peliknya, satu blok pembangkang jadi hilang pedoman, ikut beremosi dengan ahli Parlimen Putrajaya, yang sebenarnya boleh diuruskan dengan tertib dan cermat.

Selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat meminta perdana menteri menjelaskan ucapannya itu, ahli Parlimen Putrajaya masih lagi beremosi sehingga terpaksa menggunakan kisah silam yang penuh dengan fitnah ke atas Anwar bagi membakar lagi kemarahan di Parlimen.

Tindakan Radzi hanya merugikan dirinya. Dia sepatutnya lebih tenang dan matang ketika berhadapan dengan permainan seni politik perdana menteri. 

Siapa yang rugi dalam hal ini? Sudah pasti blok pembangkang dikuasai PN.

Disebabkan terlalu beremosi, ahli parlimen pembangkang terlepas ruang dan peluang untuk mengkritik kerajaan perpaduan dalam kes DNAA Ahmad Zahid Hamidi. Apabila ahli Parlimen PN keluar dari dewan persidangan, maka ia memberi ruang kepada perdana menteri memberi penjelasan mudah dan tenteram.

Ahli Parlimen tunggal parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mewakili Muar yang awalnya nampak gah mengkritik perdana menteri, akhirnya terkulai layu dengan cadangan alternatif yang tidak masuk akal di sebalik tema reformasi institusi yang mahu dijelaskan.

‘Bisa’ orang lama

Itulah “bias” cuitan orang lama seperti Anwar yang menguasai seni berpolitik parlimen. Dengan satu cuitan politik ini sahaja, ia boleh melenyapkan pihak pembangkang di Parlimen.

Bukan mudah rakyat dapat melihat seorang perdana menteri yang mempunyai daya ketahanan dan kepintaran seni politik ini ketika berhadapan dengan tuduhan berat dari lawan dan kawan di dalam Parlimen mahupun ruang awam.

Untuk mengatakan perdana menteri tidak menggulung perbahasan dengan baik juga kurang tepat. Sejak KSP RMK-12 dibentangkan, kandungan perbahasan dibawa pembangkang PN amat lemah. Di sebalik menonjolkan kemampuan mengkritik dasar kerajaan dan memberi cadangan alternatif, pembangkang PN bermain politik mengecam kerajaan, mengulangi isu kecil di kawasan, sehingga peruntukan sumbangan kematian di kawasan juga dibangkitkan.

Kualiti pembangkang semalam perlu dipersoalkan, seolah-olah mereka ini tidak pernah memegang jawatan dan membuat dasar di Putrajaya. Boleh dikatakan, perincian dalam meneliti KSP RMK-12 tidak disentuh secara tuntas oleh pembangkang. Dari sudut yang berbeza, kebanyakan kandungan perbahasan ahli parlimen kali ini lebih kepada sentimen media sosial berbanding realiti di bawah.

Entah kenapa, blok pembangkang untuk penggal ini emosi dan marah tidak tentu pasal setiap kala berucap di parlimen. Wakil rakyat PN dilihat kian hilang arah tuju dalam membincangkan dasar secara objektif. Malah, ada pula mereka ini lagak samseng, menjerit tidak tentu pasal jika ada rakan ahli Parlimen kerajaan mengusik nakal.

Apakah berbaloi berucap menjerit-jerit di Parlimen? Sudah pasti tidak, lebih-lebih lagi apa yang diucapkan itu tidak ada pengisian berdasarkan fakta dan analisis yang kritikal.

Kenyataan Radzi yang menyifatkan polemik di Parlimen semalam sebagai “Hari Hitam Parlimen Malaysia” juga tidak relevan. Dia sepatutnya sedar bahawa tindakan Muhyiddin menggunakan perintah darurat demi melumpuhkan fungsi Parlimen kerana takut hilang kepercayaan menjadi perdana menteri pada 2021 adalah hari gelap sebenar buat sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Cukup-cukuplah emosi

Disebabkan seorang ahli Parlimen gagal menanggung cuitan politik perdana menteri, ia tidak bermaksud parlimen terus hilang keadilannya. Pembangkang sendiri cuai dan membenarkan perkara ini berlaku kerana sikap gopoh mengkritik kerajaan atas dasar populis demi media sosial semata-mata.

Bak kata orang muda zaman sekarang, PN perlu “healing” dengan betul untuk menonjolkan pihaknya sebagai kerajaan menunggu (government in waiting) jika ingin menerajui Putrajaya sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang.

Meskipun PN mengatakan ramai ahli parlimen pihaknya layak perdana menteri, namun kualitinya mungkin tidak sama dengan sosok bernama Anwar Ibrahim yang pintar dalam bermain seni politik Parlimen.

Buat masa ini, PN perlu refleksi diri dan menetapkan hala tuju yang jelas sebagai pembangkang berwibawa di parlimen. Usahlah terperangkap dengan nostalgia PRU15 dan PRN15 yang sepatutnya dijadikan sandaran menjadi pembangkang yang lebih baik, bukan bersifat menjadi “kerengga” untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

PN mempunyai banyak peluang untuk bergerak lebih baik sebagai pembangkang menjelang Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi. Usahalah cepat terusik dan tersentuh bila berdepan dengan cuitan politik di Parlimen.

Persoalannya, mampukah pembangkan PN berubah atau terus bermain politik dan beremosi untuk sesi belanjawan nanti? Apakah mereka tidak penat untuk terus marah dan berpolitik untuk satu penggal? Sama-sama kita saksikan. – 20 September, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen