Dedah perkembangan berhubung aktivis Myanmar yang hilang, kata aktivis 


Noel Achariam

Aktivis Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya didakwa dilarikan beberapa lelaki tidak dikenali dari rumah mereka di negara ini pada 4 Julai. – Gambar Ihsan Human Rights Watch, 18 September, 2023.

MAKLUMAT jelas perlu terus disebarkan kepada orang ramai mengenai kehilangan aktivis Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya, kata aktivis.

Peguambela dan Wakil Pertubuhan Etnik Myanmar James Bawi Thang Bik berkata perlu ada laporan perkembangan berterusan oleh polis.

“Kami ingin mengetahui lebih banyak maklumat mengenai siasatan dan kemajuan yang sedang dilakukan.

“Ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mereka akan pergi tetapi ia tidak membuktikan mereka tidak diculik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain memberitahu Free Malaysia Today (FMT) mereka tidak menolak kemungkinan aktivis itu dan keluarganya melarikan diri dari rumah mereka dan tidak diculik seperti yang dicadangkan.

Berdasarkan rakaman CCTV, beliau berkata, tindakan keluarga itu kelihatan “sukarela”.

“Berdasarkan apa dilihat dalam CCTV, tiada tanda-tanda mereka diculik. Semuanya (nampak) secara sukarela.

“Mereka masuk kereta secara sukarela, begitu juga anak-anak mereka, dan kereta pun tidak dipandu laju,” kata Shuhaily seperti dipetik portal itu.

Katanya, siasatan masih diteruskan.

“Saya tegaskan kami belum tutup siasatan. Kami masih siasat dan jawab soalan daripada NGO, jadi saya tidak mahu orang awam menyangka kami dah tutup kes,” katanya.

James, turut memuji polis atas maklumat terkininya dan berharap polis akan terus memberikan maklumat mengenai kes itu.

Adrian Pereira yang mengendalikan Inisiatif Utara Selatan (NSI) berkata polis perlu terus memastikan pelarian di sini selamat.

Ini katanya, termasuk melibatkan diri dengan masyarakat dan agensi penguatkuasaan.

“Kami juga akan menggalakkan polis menjalankan siasatan kerana mengikut perlembagaan persekutuan semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

“Jadi, tahap profesionalisme yang sama perlu diperluaskan kepada semua sama ada rakyat Malaysia atau warga asing.

“Juga (mengenai kes) sama ada terdapat sebarang permainan keji atau campur tangan daripada kuasa luar yang perlu didedahkan kepada umum.”

Julai lalu, kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW) mendakwa Thuzar Maung dan keluarganya dilarikan beberapa lelaki tidak dikenali dari rumah mereka di negara ini pada 4 Julai. – 18 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen