Aktivis Myanmar kemungkinan bukan diculik, kata polis


Aktivis pelarian Myanmar Thuzar Maung (kanan) dan suaminya serta tiga anak mereka yang didakwa diculik dari kediaman mereka di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu. – Gambar ihsan Human Rights Watch, 16 September, 2023.

POLIS tidak menolak kemungkinan aktivis Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya meninggalkan kediaman mereka secara sukarela, tidak diculik seperti didakwa pihak tertentu, lapor Free Malaysia Today.

Laporan memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain sebagai berkata kemungkinan itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), yang memaparkan tindakan keluarga itu nampak seolah-olah “sukarela”.

“Berdasarkan apa dilihat dalam CCTV, tiada tanda-tanda mereka diculik. Semuanya (nampak) secara sukarela.

“Mereka masuk kereta secara sukarela, begitu juga anak-anak mereka, dan kereta pun tidak dipandu laju,” kata Shuhaily seperti dipetik portal itu.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kejadian itu masih disiasat sebagai kes orang hilang.

“Saya tegaskan kami belum tutup siasatan. Kami masih siasat dan jawab soalan daripada NGO, jadi saya tidak mahu orang awam menyangka kami dah tutup kes,” katanya.

Julai lalu, kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW) mendakwa Thuzar Maung dan keluarganya dilarikan beberapa lelaki tidak dikenali dari rumah mereka di negara ini pada 4 Julai.

Pengarah HRW Elaine Pearson dakwa Thuzar dan suaminya, Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka; Poeh Khing Maung, 16, Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17; dilarikan dari rumah di Ampang Jaya kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar adalah penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

“Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. 

“Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di laman web HRW.

Thuzar melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia pada 2015 untuk mengelakkan keganasan yang semakin meningkat terhadap umat Islam. Kesemua lima beranak itu diiktiraf oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pelarian di Malaysia. – 16 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen