Himpunan Selamatkan Malaysia kurang sambutan, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis berkata bantahan aman itu boleh menarik lebih banyak pembabitan ramai jika ia disokong oleh pemimpin parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

FAKTOR ekonomi, ketiadaan pemimpin parti dan kelesuan politik adalah beberapa sebab “Himpunan Selamatkan Malaysia” yang diadakan pada Sabtu gagal menarik perhatian ramai.

Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight demonstrasi aman itu boleh menarik lebih banyak pembabitan ramai jika ia disokong oleh pemimpin parti.

Mereka berkata perhimpunan itu juga tidak mempunyai objektif sebenar kerana penganjur sepatutnya membawa isu yang lebih penting seperti kenaikan kos sara hidup dan bukannya kes mahkamah Ahmad Zahid Hamidi.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, kebanyakan rakyat sudah bosan dengan politik dan tipu helah politik yang tidak pernah berakhir terutamanya diasak di media sosial oleh mereka yang bersaing untuk merebut kuasa.

“Rakyat sudah penat, sejak 2018 kita saksikan banyak plot. Kita ada pilihan raya pada November, kemudian enam negeri diikuti PRK di Johor. Tak lama lagi PRK di Pahang sebelum pilihan raya negeri Sarawak.

“Kebimbangan rakyat kini adalah ekonomi. Kos sara hidup dan harga barang tinggi. Perhimpunan semalam tidak ketara. Apa objektifnya?

“Saya lihat kebanyakan rakyat mahu kerajaan mula bekerja dan menangani beberapa isu justeru mereka sanggup memberi masa kepada mereka untuk bekerja,” kata Mazlan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, isu yang dibangkitkan oleh ahli Perikatan Nasional (PN) dan badan bukan kerajaan yang menyokongnya semasa perhimpunan itu, tidak menyentuh perasaan majoriti.

Beliau berkata, penganjur perhimpunan membuat pilihan yang salah dengan slogannya dan beranggapan mereka boleh menarik peserta dengan memainkan isu Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah.

“Perhimpunan itu tidak menarik orang ramai kerana mereka tidak melihatnya sebagai isu penting. Jika ia mengenai ekonomi atau kos sara hidup, ia lebih menarik.

Bekas timbalan ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz dilihat menyertai perhimpunan aman di pusat beli-belah Sogo pada Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

“Pembangkang menyangka mereka boleh menarik pembabitan orang ramai keluar memprotes dengan memainkan kes Zahid tetapi ia gagal. Kes Zahid bukan keutamaan bagi mereka,” kata Hisommudin.

Perhimpunan yang diadakan semalam adalah untuk membantah keputusan peguam negara menarik balik semua 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid.

Kebanyakan laporan berita menyebut kehadiran antara 500 hingga 1,000 peserta sahaja.

Minggu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan.

Pada Sabtu, gesaan supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletak jawatan dan laungan “Reformati” (reformasi sudah mati) bergema pada perhimpunan anjuran PN di ibu negara.

Perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu berlangsung kira-kira sejam sebelum orang ramai bersurai.

Antara yang kelihatan menghadiri protes itu ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dan bekas timbalan ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Kumpulan yang berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru pada mulanya berarak ke balai polis Dang Wangi sebelum menuju ke pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Semasa orang ramai berarak, laungan “Tolak Zahid!”, “Dakwa Zahid!” dan “Reformati!” kedengaran. – 18 September, 2023.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen