BEKAS timbalan menteri bertanggungjawab ke atas undang-undang Mohamed Hanipa Maidin mengingatkan kerajaan supaya tidak bertindak ke atas himpunan dianjurkan Perikatan Nasional semalam.
Bekas wakil rakyat itu berkata ini adalah kerana ramai ahli Kabinet semasa adalah “graduan” dari “sekolah perhimpunan aman”.
“Sebagai bekas peguam hak asasi, saya pernah membela beberapa orang menteri sekarang yang ketika kerajaan terdahulu menerusi polis dan Jabatan Peguam Negara, ditahan dan didakwa di mahkamah sama ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis yang sudah batal sekarang atau PAA.
“Malah (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) Nik Nazmi (Nik Ahmad) juga pernah mencabar kesahihan dari sudut perlembagaan beberapa peruntukan dalam PAA, walaupun saya bukan peguamnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Himpunan yang diadakan semalam adalah untuk membantah keputusan peguam negara menarik balik kesemua 47 pertuduhan jenayah ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Minggu lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Zahid berkaitan tuduhan pecah amanah, korupsi dan penggubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.
Pendakwaan berkata ia mahu menangguhkan prosiding kerana siasatan lebih mendalam boleh dilakukan.
Mengulas lanjut, Hanipa, bekas ahli Parlimen Sepang, berkata beliau dan Presiden Amanah Mohamad Sabu juga pernah mencabar kesahihan PAA ketika ia di peringkat rang undang-undang.
“Kami failkan semakan kehakiman dan meminta mahkamah, inter alia, untuk mengeluarkan relif perisytiharan dan writ quo warranto (penentuan autoriti atau waran apa).
“Ia adalah pengetahuan awam yang saya pernah mewakili, misalnya, Mohamad, dalam banyak kes melibatkan kesalahan dakwaan perhimpunan haram.”
Hanipa menambah yang adalah sangat “mengecewakan dan memalukan” untuk kerajaan membenarkan polis meneruskan alasan ketiadaan permit bagi menghalang perhimpunan awam.
Pada 11 September lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Ayon Khan Mydin Pitchay dilaporkan memberi amaran “tindakan tegas” akan diambil kepada penganjur dan peserta himpunan, ketika itu mengatakan tiada permohonan “permit” diterima.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata himpunan itu tidak menepati syarat PAA.
“Disebabkan itu, kami akan tengok apa tindakan susulan perlu diambil selepas ini,” katanya kepada wartawan selepas perhimpunan berakhir.
Pada 2019, kerajaan menggubal PAA yang membatalkan keperluan memperolehi permit polis untuk perhimpunan awam.
Sebaliknya, pihak penganjur hanya perlu memberi notis rasmi kepada polis lima hari sebelum himpunan diadakan, disertakan sekali dengan kebenaran pemilik tempat himpunan akan diadakan.
Antara politikus yang dilihat pada protes semalam adalah Badrul Hisham Shaharin (Bersatu) dan bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.
Peserta himpunan mula berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum berarak melintasi Balai Polis Dang Wangi menuju ke Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Mereka juga melaungkan kata-kata “Tolak Zahid”, “Dakwa Zahid” dan “Reformati”.
Anggota polis dilihat berada di tempat perhimpunan bagi memantau keadaan.
Tambah Hanipa hari ini lagi, Putrajaya sepatutnya mempertahan dan melindungi kebebasan berucap dan berhimpun seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ya, polis perlu melindungi dan mengekalkan keamanan dan kesejahteraan awam tetapi tanggungjawab itu, maaf perlu dicakap, berakhir apabila wujudnya perhimpunan awam oleh rakyat bermula.
“Jika tidak, semua jaminan termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bersuara) malah kewujudan Suhakam hanyalah ejekan dan kepura-puraan.” – 17 September, 2023.
Komen